
WARSAW, 23 November – Pihak berkuasa Poland mengesahkan tiga objek udara yang terhempas di bahagian tenggara negara itu pada Jumaat merupakan peluru berpandu kruis buatan Rusia.
- Pemeriksaan serpihan di tiga kampung mendapati objek berkenaan ialah peluru berpandu Rusia jenis Kh-101.
- Peluru berpandu itu dihasilkan pada suku keempat 2026 di sebuah kilang di Dubna, wilayah Moscow.
- NATO akan membincangkan insiden itu di Brussels; tiada kecederaan dilaporkan, walaupun berlaku letupan dan kebakaran.
Perkara itu disahkan ketika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersiap sedia mengadakan pertemuan bagi membincangkan insiden yang disifatkan Perdana Menteri Poland sebagai satu provokasi.
Kenyataan pejabat pendakwa raya di bandar Lublin menyebut, pemeriksaan terhadap serpihan peluru berpandu yang ditemukan di tiga kampung iaitu Nowy Lipowiec, Rudnik dan Molodycz mendapati kesemuanya peluru berpandu Rusia jenis Kh-101.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan semua peluru berpandu berkenaan dihasilkan pada suku keempat 2026 di sebuah kilang di Dubna, wilayah Moscow,” menurut kenyataan berkenaan.
Sebelum ini, pihak berkuasa Poland pada awalnya percaya objek tersebut terdiri daripada dua peluru berpandu dan sebuah dron berkuasa jet.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, walaupun salah satu impak diikuti letupan dan kebakaran.
Negara anggota NATO dijadual mengadakan pertemuan di Brussels pada Isnin bagi membincangkan insiden berkenaan yang dikecam Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, sebagai provokasi disengajakan oleh Kremlin.
Peluru berpandu itu dilaporkan terhempas berhampiran kawasan yang menempatkan ribuan anggota tentera daripada gabungan negara Eropah dikenali sebagai Coalition of the Willing yang ditubuhkan bagi menyokong Ukraine ketika mereka menjalani latihan ketenteraan. -AFP