
PUTRAJAYA, 23 November – Perbadanan Putrajaya mempercepatkan proses kelulusan lesen penjaja sementara daripada sehari kepada hanya 10 minit bagi memudahkan peniaga kecil menjalankan perniagaan.
- Kelulusan tempahan dewan untuk persatuan dan komuniti setempat turut dipercepatkan.
- Penambahbaikan bertujuan memudahkan peniaga kecil meningkatkan pendapatan keluarga.
- Akses kemudahan kerajaan dipermudah dan tidak membebankan masyarakat.
- Seramai 100 penerima daripada golongan OKU dan B40 menerima sumbangan Perbadanan Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, meskipun penambahbaikan itu dilihat sebagai perubahan kecil, ia mampu memberikan impak besar kepada golongan peniaga yang mahu meningkatkan pendapatan keluarga.
“Bagi penduduk yang menetap di Putrajaya, kawasan itu bukan sekadar pusat pentadbiran negara, sebaliknya merupakan tempat mereka membina kehidupan, membesarkan anak-anak dan mencari rezeki.
“Justeru, tanggungjawab kerajaan bukan hanya tertumpu kepada penyelenggaraan bangunan serta landskap bandar, tetapi turut memastikan kehidupan seharian penduduk lebih mudah, selesa dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan MADANI Putrajaya bersempena sambutan Deepavali, di sini.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Perbadanan Putrajaya turut mempercepatkan proses kelulusan tempahan dewan untuk kegunaan persatuan dan komuniti setempat bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Inisiatif itu penting bagi memastikan akses kepada kemudahan kerajaan lebih mudah dan tidak membebankan masyarakat, khususnya persatuan yang aktif menganjurkan kelas pembelajaran, program kebajikan serta aktiviti komuniti.
Pada majlis berkenaan, seramai 100 orang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan berpendapatan rendah (B40) turut menerima sumbangan yang disampaikan oleh Perbadanan Putrajaya.