MARA pergiat pembangunan teknousahawan seiring ekonomi semasa

Foto RTM

ALOR SETAR, 23 November – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mempergiat pembangunan teknousahawan iaitu usahawan yang mengintegrasikan teknologi, inovasi dan kreativiti
dalam model perniagaan mereka, seiring dengan perkembangan ekonomi semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi digital, kecerdasan buatan, automasi, e-dagang dan analisis data penting untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi serta daya saing.
  • Usahawan bumiputera digalakkan menghasilkan penyelesaian, produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi yang mempunyai nilai komersial.
  • MARA mahu membantu usahawan berkembang daripada perniagaan mikro dan kecil kepada perusahaan sederhana serta pemain industri bernilai tambah tinggi.

Ketua Pengarah MARA, Ir Dr Mahzan Teh berkata penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi, e-dagang dan analisis data kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan daya saing.

Beliau berharap usahawan bumiputera bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berupaya menghasilkan penyelesaian, produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi yang mempunyai nilai komersial.

“MARA mahu mentransformasikan usahawan daripada perniagaan mikro dan kecil kepada perusahaan berskala sederhana serta menjadi pemain industri yang mampu menjana nilai tambah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Program Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) Kedah.

Pada program GEMA Kedah 2026 yang disertai 150 peserta serta 10 pempamer itu, penyerahan cek cura (mock cheque), surat tawaran kemudahan pembiayaan perniagaan dan geran telah diserahkan kepada beberapa penerima terpilih.

Penganjuran program GEMA Kedah itu merupakan satu inisiatif strategik dalam memperluas akses usahawan kepada kemudahan, peluang dan sokongan pembangunan perniagaan, dan ia bukan sekadar platform hebahan maklumat.

Antara maklumat yang dapat diperoleh secara langsung ialah maklumat berkaitan kemudahan pembiayaan, geran, latihan, pembangunan kapasiti serta khidmat nasihat yang disediakan oleh MARA dan agensi-agensi berkaitan.

Katanya, Kedah mempunyai potensi besar dalam sektor perdagangan, perkhidmatan, makanan dan minuman, pertanian, automatif serta industri berkaitan dan ia perlu dimanfaatkan melalui penglibatan usahawan yang progresif, inovatif dan bersedia menerima perubahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.