170,000 belia Gen Z bakal adakan demonstrasi mega di Jerman


FRANKFURT, 31 Oktober – Pihak polis Jerman mula dikerahkan di seluruh negara manakala premis perniagaan mengambil langkah berjaga-jaga menjelang siri perhimpunan raksasa yang dijangka melibatkan puluhan ribu demonstran muda pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjur "GenZ regelt!" menganggarkan lebih 170,000 peserta berhimpun di lebih 30 bandar termasuk Berlin, Frankfurt dan Cologne.
  • Gerakan tercetus daripada kemarahan belia terhadap elit politik yang didakwa mengabaikan kebajikan dan suara generasi muda.
  • Tuntutan utama: kos sara hidup, fasiliti sekolah terbiar, pemotongan perbelanjaan dan dasar yang membelakangkan kepentingan belia.
  • Pihak berkuasa bimbang rusuhan, berhubung rapat dengan Perancis dan Itali; penganjur menolak ekstremisme serta ucapan kebencian.

Penganjur gerakan protes yang dikenali sebagai “GenZ regelt!” menganggarkan lebih 170,000 peserta akan berhimpun di lebih 30 bandar utama merangkumi Berlin, Frankfurt dan Cologne.

Gerakan di Jerman ini tercetus susulan gelombang bantahan belia di beberapa negara Eropah lain seperti Perancis dan Itali iaitu golongan muda meluahkan kemarahan terhadap elit politik yang didakwa mengabaikan kebajikan serta suara mereka.

Walaupun penganjur menegaskan gerakan itu menolak sebarang bentuk keganasan, pihak polis tidak mengambil mudah aspek keselamatan dengan mengerahkan ribuan anggota.

Antara tuntutan utama kumpulan belia tersebut merangkumi isu peningkatkan kos sara hidup, fasiliti sekolah yang terbiar, pemotongan perbelanjaan kerajaan serta dasar politik yang membelakangkan kepentingan generasi muda.

“Kedudukan golongan muda kini semakin terhimpit, namun suara kami masih tidak didengari. Institusi yang sepatutnya menyediakan masa depan belia kini disekat daripada mendapat peruntukan yang sewajarnya,” kata jurucakap gerakan berkenaan, Veronika Dinter.

Mereka turut membantah peningkatan drastik perbelanjaan ketenteraan serta model perkhidmatan sukarela baharu yang bertujuan menambah bilangan anggota tentera, berikutan kebimbangan ia merupakan langkah awal untuk mengembalikan sistem kerahan tenaga wajib.

Pihak berkuasa bimbang perhimpunan yang bertembung dengan sambutan Halloween ini boleh dicemari keganasan sebagaimana yang berlaku dalam demonstrasi di Perancis pada 17 Oktober lalu yang mencetuskan rusuhan teruk.

Sehubungan itu, pihak berkuasa Berlin kekal berhubung rapat dengan pegawai keselamatan Perancis dan Itali berikutan kebimbangan kemungkinan penglibatan unsur radikal luar yang cuba menyusup masuk ke dalam perhimpunan di Jerman.

Bagaimanapun, pihak penganjur GenZ Regelt! menegaskan pendirian mereka menerusi satu kenyataan.

“Kumpulan ekstremis, simbol anti-perlembagaan, rasisme serta ucapan kebencian tidak mempunyai tempat dalam gerakan kamitidak kira daripada mana-mana pihak sekalipun,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.