India jalankan ujian air minuman botol di seluruh negara

Foto media tempatan

NEW DELHI, 25 November – Pengawal selia keselamatan makanan India memulakan pemeriksaan air minuman botol di seluruh negara susulan penemuan sampel produk sebuah jenama utama yang didapati tidak selamat untuk diminum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan air minuman botol di seluruh India sudah bermula dan dijangka mengambil masa satu hingga dua bulan.
  • Sampel Bisleri dilaporkan mengandungi bromat melebihi had dibenarkan serta hidrokarbon aromatik polisiklik yang dikaitkan dengan pencemaran.
  • Bisleri mempertikaikan dapatan itu, dengan menyatakan ujian susulan menunjukkan paras bromat dalam had dan membangkitkan percanggahan pengesanan PAH.
  • Data kerajaan bagi 2022 hingga 2025 menunjukkan kira-kira satu daripada enam sampel makanan gagal memenuhi piawaian.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Keselamatan dan Piawaian Makanan India (FSSAI), Rajit Punhani berkata, pemeriksaan itu sudah bermula dan dijangka mengambil masa antara satu hingga dua bulan.

“Proses itu sudah bermula dan kami menjalankannya di seluruh negara,” katanya menurut agensi berita Press Trust of India.

Pada Ahad lalu, pihak berkuasa memaklumkan sampel air minuman berbungkus jenama Bisleri mengandungi paras bromat melebihi had yang dibenarkan. Bahan kimia itu berpotensi menyebabkan kanser.

Ujian lanjut juga dilaporkan mengesan hidrokarbon aromatik polisiklik (PAH), iaitu kumpulan bahan kimia yang dikaitkan dengan pencemaran.

Bagaimanapun, Bisleri mempertikaikan dapatan itu dengan menyatakan ujian susulan mendapati paras bromat masih dalam had dibenarkan, selain membangkitkan percanggahan dalam pengesanan PAH.

Punhani berkata, pemeriksaan berskala nasional itu memerlukan masa memandangkan keluasan negara berkenaan.

India mempunyai rangka kerja keselamatan makanan, namun pelaksanaannya masih berdepan kelemahan. Data kerajaan bagi tempoh 2022 hingga 2025 menunjukkan kira-kira satu daripada enam sampel makanan yang diuji gagal memenuhi piawaian ditetapkan.

Pada 2024, beberapa negara termasuk Nepal dan Singapura turut mengharamkan import beberapa jenama rempah popular dari India selepas ujian mengesan kandungan etilena oksida, bahan yang boleh meningkatkan risiko kanser. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.