Semua tebusan di Cartagena, Colombia dibebaskan

Foto yang dikeluarkan oleh pejabat akhbar Kementerian Pertahanan Colombia ini menunjukkan Menteri Pertahanan Colombia, Jorge Mora (kanan), menyapa anggota tentera yang terlibat dalam operasi menyelamatkan tebusan di Pasar Raya Exito di Cartagena / Foto AFP

BOGOTA, 25 November – Semua tebusan yang ditahan di sebuah pasar raya di Cartagena, bandar di utara Colombia, dibebaskan, manakala seorang daripada penculik terbunuh, kata Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella kepada media pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan lelaki bersenjata menolak tawaran untuk menyerah diri dan membebaskan tebusan.
  • Presiden membenarkan operasi menyelamat selepas menilai keadaan bersama pegawai kanan tentera dan polis.
  • Krisis berlarutan lebih 16 jam; 10 tebusan dibebaskan pada Selasa dan 20 lagi diselamatkan pada Rabu.
  • Lelaki bersenjata menyerbu pasar raya selepas cubaan merompak kenderaan berperisai yang membawa wang tunai gagal.

De la Espriella berkata kumpulan lelaki bersenjata itu telah diberi peluang untuk menyerah diri dan membebaskan tebusan, namun menolak tawaran berkenaan.

Presiden itu, yang tiba di Cartagena pada petang Selasa, berkata beliau memberikan kebenaran untuk melancarkan operasi menyelamat selepas menilai situasi bersama pegawai kanan tentera dan polis.

Krisis tebusan itu berlarutan lebih 16 jam, dengan 10 tebusan dibebaskan pada Selasa manakala baki 20 lagi diselamatkan dalam operasi pada Rabu, menurut laporan media tempatan.

Sekumpulan lelaki bersenjata yang bertopeng menyerbu sebuah pasar raya milik rangkaian peruncitan di Cartagena pada pagi Selasa dan menjadikan pelanggan serta pekerja sebagai tebusan.

Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan beberapa tebusan dalam keadaan tangan terikat, manakala lelaki bersenjata berkawal berhampiran mereka.

Presiden itu berkata kumpulan lelaki bersenjata berkenaan melarikan diri ke dalam pasar raya itu dan menahan tebusan selepas percubaan merompak sebuah kenderaan berperisai yang membawa wang tunai gagal. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.