Pemotongan dana antarabangsa ancam usaha memerangi HIV – UNAIDS

Pengarah Eksekutif UNAIDS, Winnie Byanyima / Foto fail AFP

GENEVA, 25 November – Kemajuan dalam usaha memerangi HIV berisiko terjejas susulan pengurangan pembiayaan antarabangsa, sedangkan virus itu masih meragut kira-kira 1,600 nyawa setiap hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan antarabangsa bagi program HIV merosot 18 peratus, manakala sumbangan Amerika Syarikat susut 26 peratus.
  • Pengurangan dana menjejaskan perkhidmatan pencegahan dan sokongan komuniti, termasuk ujian HIV serta permulaan rawatan.
  • Sasaran menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030 masih boleh dicapai jika usaha global diperkukuh semula.

Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) dalam laporan tahunan terbaharunya memaklumkan, kematian berkaitan AIDS pada 2025 menurun kepada kira-kira 570,000 berbanding 600,000 pada 2024 dan 1.3 juta pada 2010.

Bagaimanapun, pembiayaan antarabangsa bagi program HIV merosot 18 peratus dalam tempoh setahun, manakala sumbangan Amerika Syarikat (AS) susut 26 peratus antara 2024 hingga 2025.

Pengarah Eksekutif UNAIDS, Winnie Byanyima berkata, pengurangan dana itu berisiko mencetuskan krisis yang sebenarnya boleh dicegah.

“Dunia sedang menuju ke arah krisis yang boleh dicegah tanpa menyedarinya.

“Setiap klinik yang ditutup, setiap petugas lapangan yang kehilangan pekerjaan dan setiap wanita muda yang ditolak daripada mendapatkan perkhidmatan pencegahan hari ini berisiko menjadi jangkitan HIV baharu pada hari esok,” katanya.

UNAIDS menganggarkan 41 juta orang di seluruh dunia hidup dengan HIV pada 2025, dengan 32.1 juta daripadanya menerima rawatan antiretroviral.

Dalam tempoh sama, kira-kira 1.2 juta jangkitan baharu direkodkan, menurun daripada 1.3 juta pada 2024 dan jauh lebih rendah berbanding kemuncak 3.5 juta pada 1994.

Bagaimanapun, pengurangan dana menyebabkan perkhidmatan pencegahan dan sokongan komuniti terjejas, termasuk penurunan jumlah ujian HIV serta individu yang memulakan rawatan.

UNAIDS memberi amaran, kesan penuh gangguan pembiayaan pada 2025 mungkin belum dirasai, terutama di sub-Sahara Afrika yang kekal sebagai rantau paling terjejas.

PBB sebelum ini menetapkan sasaran untuk menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.

Namun, UNAIDS menegaskan sasaran itu masih boleh dicapai sekiranya usaha global diperkukuh semula. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.