
KUALA LUMPUR, 25 November – Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diadakan sebelum Februari 2028, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- PRU16 dijangka diadakan sebelum Februari 2028, sama ada sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan tahun hadapan.
- Kesinambungan kepimpinan negara bergantung kepada mandat rakyat dan sokongan terhadap parti-parti kerajaan.
- Setiap lapisan masyarakat perlu melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
- Rakyat diseru menghindari permusuhan kaum serta memperkukuh muafakat merentas kaum, agama dan wilayah.
Perdana Menteri berkata, beliau memberi bayangan bahawa PRU16 boleh berlangsung sama ada sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan tahun hadapan.
“Pilihan raya umum mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah,” katanya ketika menjadi tetamu program khas Dialog Negara yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.
Mengulas kemungkinan berlaku perubahan dalam pentadbiran sekiranya diberi mandat sekali lagi, Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu bergantung kepada rakyat dan sokongan yang diberikan kepada parti-parti dalam kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan kesediaan untuk meneruskan kepimpinan negara sekiranya diberi kepercayaan dengan pengalaman dan kekuatan sedia ada bagi mengangkat martabat Malaysia.
“Saya pencinta negara saya yakin dengan keupayaan negara. Saya meletakkan harapan yang sangat tinggi pada anak-anak muda dan saya mahu Malaysia ini sekarang ini terangkat tapi biar menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan di dunia. Itu cita-cita saya,” katanya.
Mengulas harapan menjelang 2027, Perdana Menteri mengingatkan setiap lapisan masyarakat supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah, termasuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Beliau berkata, pemimpin, penjawat awam, mahasiswa dan ibu bapa masing-masing mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan dan kemajuan negara terus dipelihara.
Beliau turut menyeru rakyat supaya mengelakkan ketegangan dan permusuhan antara kaum kerana cabaran utama negara perlu ditangani berlandaskan prinsip serta nilai akhlak.
Katanya, kerjasama dan semangat muafakat merentas kaum, agama serta wilayah penting bagi membina kekuatan negara dan merealisasikan potensi Malaysia di peringkat dunia.