Platform e-dagang asing berdepan kawal selia lebih ketat – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program khas Dialog Negara di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Peraturan dan kawal selia terhadap platform e-dagang asing akan lebih diperketat bagi memastikan barangan yang memasuki pasaran tempatan memenuhi piawaian mutu, keselamatan dan pensijilan halal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lambakan barangan murah dari luar negara menjejaskan daya saing peniaga kecil dan pengeluar tempatan.
  • Kerajaan tidak mahu menyekat import, sebaliknya memastikan perdagangan berlangsung secara adil dan bertanggungjawab.
  • Langkah kawal selia termasuk menggalakkan kerjasama syarikat asing dengan syarikat tempatan serta menjamin kualiti dan keselamatan produk.
  • Pendidikan pengguna perlu diperkukuh bagi mengelakkan pembelian berlebihan yang boleh membebankan hutang isi rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi menangani lambakan barangan murah dari luar negara yang menjejaskan daya saing peniaga kecil dan pengeluar tempatan.

Beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat menyekat sepenuhnya kemasukan barangan import, sebaliknya memastikan perdagangan berlangsung secara lebih adil dan bertanggungjawab.

“Kita tidak bertujuan menyekat, tetapi kita mahu pelaburan, perdagangan dan bukan lambakan barang-barang yang murah sementara ini,” katanya ketika menjadi tetamu episod khas program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.

Datuk Seri Anwar berkata, beberapa langkah kawal selia telah dipersetujui melalui Jemaah Menteri, termasuk menggalakkan kerjasama syarikat asing dengan syarikat tempatan serta jaminan kualiti dan keselamatan produk.

Beliau berkata, perkara itu turut dibangkitkan kepada kepimpinan Kerajaan China bagi memastikan perdagangan antara kedua-dua negara lebih seimbang.

“Presiden Xi Jinping turut menyatakan kesediaan untuk membuka lebih banyak ruang bagi meningkatkan eksport produk Malaysia ke China, manakala kerajaan akan terus meneliti langkah kawal selia bagi memastikan mutu barangan import terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga perlu memperkukuh pendidikan pengguna supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan iklan dan promosi tanpa menilai mutu serta keperluan sesuatu barangan.

Katanya, tabiat membeli barangan secara berlebihan tanpa mengutamakan keperluan boleh meningkatkan beban hutang isi rumah, terutama dalam kalangan pengguna berpendapatan rendah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.