
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Sebanyak RM1.465 juta diperuntukkan bagi memperkasa pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan pendidikan menerusi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2026 di Perak.
- Program MADANI JPA buktikan keberkesanan kerjasama agensi kerajaan, menukar perancangan kepada hasil yang dinikmati rakyat.
- Lapan projek fizikal dilaksanakan termasuk naik taraf masjid, dewan orang ramai, klinik, balai polis dan kemudahan sekolah.
- Kerjasama strategik dengan KKDW dan ICU JPM membolehkan pemasangan 40 unit lampu solar serta pembinaan dewan serba guna.
- SMK Malim Nawar menerima peruntukan bagi naik taraf kemudahan pembelajaran serta program pembangunan pelajar dan guru.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan program sejak April lalu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara agensi kerajaan dalam menterjemahkan perancangan kepada hasil yang dapat dinikmati rakyat.
Peruntukan itu memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Kampung Kota Bharu, Kampar serta warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar.
“Pada bulan April lalu, kita hadir membawa pelan tindakan. Dengan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kampung dan RM100,000 untuk sekolah angkat MADANI kita. Tetapi hari ini, pada penghujung bulan Oktober, kita tidak lagi bercakap tentang janji. Hari ini, kita kembali untuk melihat bukti,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penutupan Rasmi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA 2026 di Padang Sekolah Kebangsaan Kota Bharu, Gopeng, hari ini.
Menurut beliau, bagi Kampung Angkat MADANI, sebanyak lapan projek fizikal dilaksanakan melibatkan naik taraf masjid, dewan orang ramai, klinik kesihatan, balai polis dan kemudahan sekolah.
Kerjasama strategik dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu turut membolehkan pemasangan 40 unit lampu solar bernilai RM380,000, selain pembinaan dewan serba guna bernilai RM450,000 menerusi peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) yang masih dalam pelaksanaan.
Sementara itu, SMK Malim Nawar menerima peruntukan RM90,000 bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran serta RM10,000 bagi melaksanakan program pembangunan pendidikan pelajar dan guru.
Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan turut menegaskan, penjawat awam perlu mengutamakan pendekatan turun padang bagi memahami keperluan sebenar masyarakat, bukan sekadar merangka dasar dan perancangan.
“Pegawai awam tidak boleh sekadar berteori, kita mesti berempati. Kita mesti turun padang, mendengar luahan hati, dan memahami sendiri denyut nadi rakyat,” jelasnya.
Pada majlis sama, 97 keluarga menerima Bakul Rahmah, selain penyampaian sumbangan kepada sekolah serta penghargaan kepada rakan strategik yang menjayakan program berkenaan.
Beliau turut menyeru komuniti setempat supaya memanfaatkan dan memelihara kemudahan yang disediakan demi kesejahteraan serta manfaat generasi akan datang.