
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Dana RM350,000 menerusi Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi meningkatkan kualiti karya industri kreatif.
- Timbalan KSU Datuk Bahria berharap dana mendorong penggiat seni berkarya lebih giat dan mencapai standard kualiti yang lebih tinggi.
- Dana tidak dilihat sebagai ganjaran tetapi sebagai pelaburan jangka panjang untuk pembangunan karya dan bakat seni negara.
- Penganjuran ASA menunjukkan perhatian Kementerian Komunikasi terhadap penggiat seni, termasuk mereka yang terlibat di belakang tabir.
- Pemenang ASA 2026: Drama TV Terbaik terima RM200,000; Dokumentari TV Terbaik terima RM150,000.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil berkata, dana itu diharap mendorong penggiat seni berkarya dengan lebih giat serta menghasilkan karya berkualiti tinggi.
“Saya harapkan supaya dana ini tidak dianggap sebagai satu ganjaran tetapi merupakan pelaburan jangka panjang bagi penggiat seni kita untuk berkarya ke arah kualiti yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program temu bual Apresiasi ASA 2026 di Angkasapuri Kota Media yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail.
Menurut Datuk Bahria lagi, penganjuran ASA turut mencerminkan perhatian Kementerian Komunikasi terhadap penggiat seni, termasuk mereka yang terlibat di belakang tabir.
“Sudah lebih 50 tahun ASA dianjurkan bermula 1972, semoga ASA terus menjadi penjana semangat kepada semua penggiat seni untuk terus berkarya,” katanya lagi.
ASA 2026 yang berlangsung minggu lalu, pemenang Drama TV Terbaik, Selampai Labung arahan Danny Alamsyah menerima dana RM200,000.
Manakala dana RM150,000 diperuntuk kepada pemenang Dokumentari TV Terbaik berjudul Di Sebalik Bayangan Harimau karya Baharunnurdalila Baharuddin.