
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Pengundi muda dijangka menjadi kelompok penentu utama keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini, susulan jumlah mereka yang membentuk hampir separuh daripada keseluruhan pemilih berdaftar di negeri itu.
- Pengundi muda semakin tidak terikat kepada parti; lebih bersifat taktikal dan pengundi atas pagar.
- Isu utama yang mempengaruhi mereka: kos sara hidup, pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan.
- Parti perlu kemukakan kerangka pembangunan konkrit yang mampu diterjemah kepada peningkatan pendapatan dan kuasa beli.
Felo Penyelidik Ilham Centre merangkap Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, golongan berusia 18 hingga 39 tahun kini semakin tidak terikat dengan parti politik dan lebih cenderung menilai sesuatu tawaran berdasarkan keperluan semasa.
Menurut beliau, kos sara hidup, pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan antara isu utama yang dijangka mempengaruhi pertimbangan kelompok berkenaan.
“Pengundi-pengundi ini tidak lagi terikat dengan parti kerana mereka lebih bersifat taktikal dan pengundi atas pagar.
“Jadi saya jangkakan keterikatan kepada parti tidak lagi menjadi pemberat utama kepada pengundi dalam PRN kali ini,” katanya kepada RTM.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, parti yang bertanding perlu mengemukakan kerangka pembangunan yang konkrit dan mampu menangani cabaran sosioekonomi rakyat.
Menurutnya, keupayaan menterjemah dasar kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung, khususnya dari segi pendapatan dan kuasa beli, akan menjadi antara ukuran penting pengundi.
“Sesiapa yang mahu bertanding perlu ada sesuatu bersifat konkrit dan kerangka ekonomi yang boleh dilihat secara mapan oleh pengundi terutama dalam konteks cara ia mampu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dilihat secara tuntas oleh rakyat, baik di dalam poket mereka dari sudut pendapatan mahupun di dalam pinggan mereka dari sudut kuasa beli,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November.
Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada pilihan raya berkenaan, membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.