
KOTA BHARU, 31 Oktober – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 8.25 tan beras pelbagai gred yang dipercayai diseludup dari Thailand dalam Op Taring Wawasan Kelantan, semalam.
- PGA merampas 8.25 tan beras pelbagai gred dipercayai diseludup dari Thailand semasa Op Taring Wawasan Kelantan.
- Rampasan termasuk sebuah lori dan muatan; nilai muatan dianggarkan RM33,000, nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM183,000.
- Pemandu lori ditahan semasa rondaan di Pengkalan Kubor; lori dikesan mencurigakan di Cabang Empat dan diperiksa di Jalan Peringat-Bachok.
- Siasatan awal mendapati pemandu kononnya menerima arahan ambil muatan di Kampung Bendang Pak Yong untuk dihantar ke Kuala Besut; kes di bawah Seksyen 20.
Rampasan melibatkan sebuah lori bersama muatan beras dianggarkan RM33,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemandu lori berusia 34 tahun turut ditahan kira-kira pukul 5 petang ketika rondaan di Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Pasukan operasi mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan Cabang Empat, Tumpat sebelum mengekori dan menahannya di Jalan Peringat-Bachok untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan di bahagian muatan belakang lori mendapati terdapat guni putih berisi beras pelbagai gred super import,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan membabitkan 8.25 tan beras dan sebuah lori jenis Isuzu dianggarkan RM183,000.
Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima arahan daripada majikannya untuk mengambil lori bersama muatan beras di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat sebelum menghantarnya ke Kuala Besut, Terengganu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.