170 minyak masak peket cuba diseludup ke Thailand

Beberapa kotak berwarna coklat ditinggalkan di kawasan parkir kenderaan/Foto PGA Briged Tenggara

KUALA LUMPUR, 24 November – Sebanyak 170 peket minyak masak bernilai RM425 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di Pengkalan Haram Paija, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan dijalankan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan susulan maklumat kegiatan penyeludupan minyak masak.
  • Minyak masak dipercayai hendak diseludup ke Thailand melalui laluan yang tidak diwartakan.
  • Tiada tangkapan dibuat; barang rampasan diserahkan kepada KPDN Kota Bharu dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Rampasan dilakukan kira-kira pukul 9.30 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat kegiatan penyeludupan minyak masak di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di kawasan parkir kenderaan.

“Kesemua minyak masak itu dipercayai untuk diseludup ke Thailand melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan berkenaan.

Barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.