Lapan PATI ditahan dalam dua serbuan di Janda Baik

Lapan PATI tinggal tempoh lebih masa dan tanpa dokumen perjalanan sah ditahan di Janda Baik semalam/Foto PGA Briged Tenggara

KUALA LUMPUR, 26 November – Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Myanmar ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kampung Janda Baik, Bentong, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan pertama di sebuah rumah tidak bernombor menahan lima lelaki Indonesia berusia 27 hingga 53 tahun.
  • Seorang lelaki tidak memiliki permit kerja dan cop visa, manakala empat lagi menggunakan dokumen tamat tempoh serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
  • Serbuan kedua di pondok kawasan kebun sayur menahan dua lelaki dan seorang wanita Myanmar yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
  • Lima buku pasport dirampas dalam serbuan pertama; kesemua individu dibawa ke IPD Bentong untuk siasatan lanjut.

Kesemua mereka terdiri daripada lima lelaki warga Indonesia serta dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar ditahan dalam operasi kira-kira pukul 5.30 pagi dan 7.30 pagi.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah tidak bernombor, polis menahan lima lelaki warga Indonesia berusia antara 27 hingga 53 tahun.

“Pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka tidak memiliki permit kerja dan cop visa, manakala empat lagi mempunyai dokumen tamat tempoh serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan malam Rabu.

Dalam serbuan kedua di sebuah pondok di kawasan kebun sayur sekitar kampung sama, polis menahan tiga individu yang mengaku sebagai warga Myanmar.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 48 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Pondok di kawasan kebun sayur Kampung Janda Baik, Bentong diserbu PGA/Foto PGA Briged Tenggara

Dalam serbuan pertama, polis merampas lima buku pasport, manakala tiada sebarang rampasan dilakukan dalam serbuan kedua.

Kesemua lapan individu itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan lanjut.

Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.