
MELAKA TENGAH, 24 November – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mempergiat langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko dilanda banjir.
- MBMB menyelenggara longkang secara berkala bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dan mampu menampung aliran air hujan.
- Bukit Rambai diberi perhatian kerana sering mengalami banjir berulang.
- Pasukan Respons Awal Bencana beroperasi 24 jam untuk menyalurkan bantuan segera apabila berlaku bencana.
- Kolam takungan banjir di Bukit Rambai sedang dibina untuk menampung air hujan dan mengurangkan risiko limpahan.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, antara langkah utama dilaksanakan ialah penyelenggaraan longkang secara berkala bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik dan mampu menampung aliran air hujan.
Menurutnya, kawasan Bukit Rambai antara lokasi yang diberi perhatian berikutan masalah banjir berulang yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
“MBMB turut mempunyai unit Pasukan Respons Awal Bencana (PRAN) yang beroperasi 24 jam bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera sekiranya berlaku sebarang bencana.
“MBMB berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan bencana. Unit PRAN yang berkhidmat 24 jam akan menjadi pasukan utama dalam memberikan bantuan di kawasan terjejas,” katanya kepada pemberita
selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Taklimat Pengayuh Beca Negeri Melaka 2026 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit.
Dalam perkembangan berkaitan, projek pembinaan kolam takungan banjir di Bukit Rambai kini mencapai kemajuan melebihi 20 peratus dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan.
Menurut beliau, pembinaan kolam itu bertujuan menampung air hujan sebelum disalurkan secara berperingkat, sekali gus mengurangkan risiko limpahan air ke kawasan sekitar Bukit Rambai.