Skuad pekak sasar dalam kelompok 10 terbaik acara catur di Austria

Enam pemain berentap di Innsbruck-Seefeld-Tirol, Austria, Januari tahun depan dalam acara sukan catur

KUALA LUMPUR, 24 November – Kontinjen pekak negara menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dalam acara catur pada temasya Deaflympics Musim Sejuk 2027 di Innsbruck-Seefeld-Tirol, Austria, Januari tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menyasarkan tempat dalam kelompok 10 terbaik, dengan sasaran realistik bagi mengelakkan tekanan berlebihan kepada atlet.
  • Enam pemain akan beraksi dalam acara Blitz individu lelaki dan wanita serta Classical berpasukan lelaki dan wanita.
  • Persiapan merangkumi latihan fizikal dan dalam talian serta persediaan psikologi menghadapi cuaca sejuk ekstrem; MSDeaf turut memohon sumbangan bagi menampung kos penyertaan.

Pada penampilan sulung di pentas dunia itu, skuad pekak akan mempertaruhkan enam pemain bagi menggalas cabaran dalam sukan catur yang menjadi satu-satunya acara disertai kontinjen negara.

Ketua Kontinjen (CDM) yang juga Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr. Ong Shin Ruenn berkata, sasaran realistik itu ditetapkan bagi mengelakkan tekanan berlebihan kepada barisan pemain.

“Ini merupakan penyertaan sulung Malaysia di pentas Deaflympics Musim Sejuk. Justeru, kita tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga memberi tekanan kepada atlet, sebaliknya menyasarkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik.

“Saingan di peringkat dunia khususnya daripada negara-negara Eropah sememangnya sangat kuat, namun ini adalah langkah pertama yang penting buat pasukan kita,” katanya pada sidang media berkenaan penyertaan Malaysia ke Deaflympics musim sejuk 2027 di pejabat MSDeaf, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Skuad catur negara bakal beraksi dalam dua acara utama merangkumi empat kategori iaitu Blitz (individu lelaki dan wanita) serta Classical (berpasukan lelaki dan wanita).

Barisan pemain yang dipilih berdasarkan prestasi cemerlang di peringkat ASEAN dan Asia Pasifik itu diterajui Loo Pin Xie, selain Leong Ee Hern, Ezwany Osman, Goh Sheng Wei serta dua pemain muda berbakat, R.Yoshni dan Ainur Asyikin Jupineh.

Pasukan seramai 10 orang itu turut dibarisi Ketua jurulatih Dr. Zaidan Zulkipli, Pengurus Pasukan, Datuk Dr. Sarkunan Balakhrisnan dan Kapten Pasukan, Nazrul Azwa Zulkipply.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Dr. Ong memaklumkan latihan secara fizikal dan dalam talian telah dijalankan sejak tahun lalu, selain merancang kem latihan pusat di ibu negara selama seminggu sebelum berlepas.

Katanya, MSDeaf turut bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mempersiapkan aspek psikologi atlet untuk berdepan cabaran cuaca sejuk ekstrem di Austria.

Dalam pada itu, beliau turut merayu sumbangan dana daripada sektor korporat bagi menampung kos penghantaran kontinjen negara yang dianggarkan melebihi RM200,000.

“Kos keseluruhan agak tinggi kerana melibatkan tiket penerbangan, penginapan,makan minum serta kelengkapan baju sejuk memandangkan kadar tukaran mata wang Euro yang tinggi.

“Tabung sedia ada untuk sukan catur amat terhad iaitu sekitar RM20,000 sahaja.”

“Oleh itu, kami amat berharap mana-mana individu mahupun syarikat korporat sudi tampil menghulurkan sumbangan demi kelancaran penyertaan atlet negara ke Austria,” tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.