Taktik sindiket berubah, PDRM terus jejak jenayah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 November – Perubahan taktik sindiket jenayah tidak menghalang pihak berkuasa daripada mengesan serta mengambil tindakan terhadap kegiatan yang menyalahi undang-undang, termasuk yang membabitkan anggota penguat kuasa sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan merangkumi pengedaran dadah, penipuan telekomunikasi dan penipuan dalam talian.
  • Siasatan pengedaran dadah melibatkan 13 tangkapan, terdiri daripada tujuh pegawai beruniform dan enam orang awam.
  • AISSE'27 memperluas pengetahuan pegawai narkotik melalui perkongsian kepakaran serta pendedahan kepada teknologi keselamatan terkini.
  • Penggunaan AI perlu disokong anggota terlatih, tadbir urus jelas, pengawasan manusia dan perkongsian maklumat antara agensi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemantauan pihak berkuasa bukan hanya tertumpu kepada kegiatan pengedaran dadah, malah turut merangkumi jenayah penipuan telekomunikasi dan penipuan dalam talian.

“Sindiket boleh datang dengan apa juga strateginya, tapi saya beri jaminan bahawa ia tidak terlepas daripada radar intipan kita. Cuma cepat atau lambat sahaja,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE’27), di sini.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan membabitkan kegiatan pengedaran dadah yang turut melibatkan pegawai beruniform dan orang awam, beliau memaklumkan sebanyak 13 tangkapan telah dilakukan setakat ini.

Daripada jumlah itu, tujuh membabitkan pegawai beruniform, manakala enam lagi orang awam, dengan tindakan lanjut masih diteruskan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan di lapangan terbang, pintu masuk negara, pelabuhan dan lokasi strategik membuktikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam membendung kegiatan jenayah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penganjuran AISSE’27 akan turut memberi tumpuan kepada perkembangan corak ancaman dadah di peringkat global.

Katanya, platform itu membuka peluang kepada pegawai narkotik memperluas pengetahuan menerusi perkongsian kepakaran, persidangan serta pendedahan kepada teknologi dan peralatan keselamatan terkini.

Beliau yakin pengisian berkenaan mampu memberi nilai tambah kepada keupayaan pasukan polis dalam menangani perubahan taktik sindiket jenayah.

Pada masa sama, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor keselamatan negara bukan sekadar bergantung kepada kecanggihan teknologi, sebaliknya memerlukan anggota penguat kuasa yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan mencukupi untuk mengendalikannya.

Tambah Datuk Seri Saifuddin, pembangunan keupayaan modal insan perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh penggunaan teknologi bagi memastikan transformasi keselamatan negara mencapai keberkesanan sebenar.

Jelasnya teknologi semata-mata tidak menjamin keselamatan negara sekiranya anggota yang mengendalikan sistem berkenaan tidak mempunyai kemahiran, pengetahuan serta latihan bersesuaian.

Justeru, pembangunan tenaga kerja yang celik teknologi dan bersedia menghadapi perubahan menjadi antara lima keutamaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkukuh kesiapsiagaan agensi keselamatan negara.

“Teknologi semata-mata tidak menjamin keselamatan. Anggota penguat kuasa perlu dilengkapi kemahiran, pengetahuan dan latihan yang bersesuaian bagi memastikan penggunaan teknologi baharu dapat dimanfaatkan secara berkesan.

“Pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran teknologi serta mempunyai kesiapsiagaan operasi juga perlu diberi keutamaan. Dengan memperkukuh kerjasama strategik,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan AI berpotensi meningkatkan keupayaan analisis risikan, menyokong siasatan, memperkukuh pengurusan sempadan serta membolehkan pengesanan awal ancaman dilakukan dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, penggunaannya perlu berpandukan tadbir urus yang jelas, pematuhan undang-undang serta pengawasan manusia bagi memastikan akauntabiliti dan perlindungan data peribadi terus terpelihara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan memperkukuh penyelarasan dan perkongsian maklumat antara agensi memandangkan ancaman keselamatan semakin kompleks serta saling berkait.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.