Menyamar polis Hong Kong, 18 warga Taiwan ditahan

Foto IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Polis menahan 18 warga Taiwan disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai polis Hong Kong, dalam serbuan di dua premis di St Mary Residence, Kuala Lumpur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan: 69 telefon bimbit, lima laptop dan dua helai baju seragam polis Hong Kong.
  • Sindiket menyamar sebagai polis Hong Kong, menggunakan capaian Time, beroperasi kira-kira lima bulan menipu mangsa secara dalam talian.
  • Semua suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan; orang ramai diminta salurkan maklumat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin memaklumkan, serbuan kira-kira pukul 6.35 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil susulan maklumat risikan kegiatan penipuan dalam talian.

“Hasil serbuan, pihak polis telah menahan 18 individu iaitu 17 lelaki dan seorang wanita warganegara Taiwan berumur antara 19 hingga 43 tahun.

“Turut dirampas 69 unit telefon bimbit, lima unit laptop dan dua helai baju seragam polis Hong Kong,” katanya menerusi kenyataan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu menyamar sebagai polis Hong Kong bagi memperdaya mangsa dari negara berkenaan menerusi aktiviti penipuan dalam talian.

Tambahnya, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan capaian internet Time untuk menjalankan kegiatan penipuan itu dan telah beroperasi kira-kira lima bulan.

“Kesemua suspek direman empat hari mulai 30 Oktober hingga 2 November bagi membantu siasatan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan sama.

Pihaknya menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau balai polis berhampiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.