JIM Kedah serbu tapak pembinaan, 52 pendatang asing ditahan

Foto Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah

ALOR SETAR, 22 November – Seramai 52 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di sini, kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi penguatkuasaan di tapak pembinaan disertai dan dipantau pegawai kanan Jabatan Imigresen Negeri Kedah.
  • Pemeriksaan mendapati ramai warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
  • Terdapat penyalahgunaan pas kerja; pekerja menggunakan pas kerja di bawah syarikat lain atau bekerja di luar sektor diluluskan.
  • Semua tahanan dibawa ke pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan dan siasatan lanjut; operasi akan diteruskan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menerusi kenyataan memaklumkan daripada jumlah tangkapan itu, 38 orang merupakan warganegara Bangladesh, 13 orang warganegara Indonesia serta seorang warganegara Myanmar.

Kesemua tahanan berusia antara 19 hingga 55 tahun.

“Operasi tersebut turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Datuk Lokman Effendi Ramli dan Pengarah Imigresen Negeri Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain bagi memantau pelaksanaan operasi berkenaan.

“Dalam operasi tersebut, seramai 64 individu telah diperiksa, terdiri daripada 56 warga asing dan lapan warganegara Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 52 warga asing telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Selain itu, satu (1) saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut”, menurut JIM dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Terdapat juga warga asing yang menggunakan pas kerja di bawah syarikat lain dan bukannya majikan tempat mereka bekerja.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Datuk Lokman Effendi Ramli turut mengingatkan semua majikan supaya memastikan pekerja warga asing memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah serta bekerja dengan majikan dan dalam sektor yang telah diluluskan.

“Majikan juga tidak dibenarkan menggaji pekerja asing yang menggunakan permit kerja di bawah syarikat lain atau bekerja di luar sektor yang ditetapkan”, katanya dalam kenyataan sama.

Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“JIM Negeri Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penyalahgunaan pas dan permit, khususnya dalam sektor pembinaan”, menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.