
LAGOS, 22 November – Agensi antinarkotik Nigeria menahan seorang pemain golf profesional dari Afrika Selatan bersama 50.4 kilogram ganja di dalam bagasinya sejurus tiba di lapangan terbang di sini.
- Grobler dan rakan subahat Faiza Njambi Abubakar menukar tag bagasi untuk menyembunyikan pemilikan bungkusan dadah.
- Beg yang diperiksa mengandungi 46 bungkusan ganja.
- Grobler dijanjikan AS$280, Faiza ditawarkan AS$8,000; peranti pengesan dipasang pada bagasi dan telefon untuk pemantauan sindiket.
Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Dadah Kebangsaan (NDLEA) berkata suspek Henlo Grobler, 37, ditahan pada 11 Oktober lalu selepas tiba dari Afrika Selatan.
“Grobler dan rakan subahatnya warga Kenya, Faiza Njambi Abubakar, 25, bertukar tag bagasi bagi menyembunyikan pemilikan sebenar bungkusan dadah tersebut.
“Ketika Grobler membawa beg yang diletakkan tag nama wanita Kenya terbabit, wanita itu pula mengambil dua beg yang menggunakan tag nama Grobler sebelum meninggalkan lapangan terbang.
“Beg yang ditemui bersama Grobler mengandungi 46 bungkusan ganja,” menurut NDLEA.
Siasatan lanjut mendapati Grobler direkrut oleh seorang kenalan di Afrika Selatan dan dijanjikan bayaran sebanyak AS$280 sebaik sahaja dadah berkenaan berjaya dihantar.
Sementara itu, Faiza yang ditahan pada 15 Oktober sebelum menaiki penerbangan ke Kenya mendedahkan, dia ditawarkan bayaran AS$8,000.
Jurucakap NDLEA, Femi Babafemi dalam satu kenyataan memaklumkan peranti pengesan turut dipasang pada bagasi serta telefon bimbit Grobler bagi membolehkan sindiket memantau ‘keldai dadah’ dan kiriman mereka.- AFP