
DHAKA, 22 November – Industri tekstil Bangladesh, yang merupakan sektor eksport utama negara itu mengalami kerugian dianggarkan berjumlah AS$428 juta akibat protes pekerja yang menuntut kenaikan gaji.
- Protes berskala besar sejak Oktober menjejaskan pengeluaran kilang pakaian.
- Tinjauan BGMEA: 317 kilang terjejas; tempahan bernilai AS$254 juta dialihkan ke negara lain.
- Pekerja menuntut gaji minimum 30,000 taka berbanding 12,500 taka kerana kos sara hidup meningkat.
- Mogok dan pertempuran dengan polis melambatkan penghantaran, menggugat keyakinan pembeli dan menjejaskan mata pencarian ramai.
Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh (BGMEA) menyatakan protes berskala besar sejak Oktober lalu telah menjejaskan pengeluaran.
Menerusi tinjauan ke atas ahlinya, persatuan pengilang utama negara itu memaklumkan sebanyak 317 kilang pakaian menanggung kerugian berjumlah AS$428 juta, manakala tempahan bernilai AS$254 juta telah dialihkan ke negara lain.
“Kerugian sebenar mungkin jauh lebih tinggi. Namun keadaan dilaporkan semakin reda selepas lembaga gaji yang dilantik kerajaan berikrar untuk mengumumkan kadar gaji minimum baharu, yang dijangka pada bulan depan,” katanya.
Para pekerja mendakwa gaji semasa mereka gagal menampung peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan sekali gus menuntut gaji minimum bulanan sebanyak 30,000 taka (AS$240) berbanding kadar semasa 12,500 taka.
Mogok dilaporkan masih berterusan dengan skala kecil daripada lebih 4,000 kilang di negara Asia Selatan itu, yang merupakan pengeksport tekstil kedua terbesar dunia di belakang China.
Beberapa kes turut menyaksikan pekerja bertempur dengan polis hingga menjejaskan pengeluaran, melewatkan penghantaran serta menggugat keyakinan pembeli antarabangsa.
Sektor tersebut menggajikan lebih empat juta pekerja di negara berpenduduk 170 juta orang.
“Adalah amat penting untuk mengatasi situasi kritikal ini secepat mungkin demi kepentingan ekonomi negara serta mata pencarian jutaan pekerja,” kata Setiausaha Agung BGMEA, Md Shahedul Islam dalam kenyataan terbabit.- AFP