
ANTALYA, 22 November – Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-31 (COP31) berakhir dalam kekecohan pada Ahad apabila rundingan gagal mencapai kata sepakat selepas Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain menolak draf perjanjian yang tidak menyebut mengenai bahan api fosil.
- Presiden COP31 sahkan tiada persetujuan dicapai selepas sidang dilanjutkan 44 jam, memecah rekod persidangan iklim PBB.
- Utusan Kepulauan Marshall kecam penghapusan sasaran dana adaptasi AS$120 bilion, kata negara membangun tidak boleh bergantung pada janji kosong.
- Isu bahan api fosil mencetuskan perbalahan; negara pengeluar minyak menentang sasaran itu dan kumpulan alam sekitar kritik langkah dianggap tidak cukup.
Presiden COP31, Murat Kurum mengesahkan tiada persetujuan dicapai selepas sidang kemuncak itu berlanjutan 44 jam sekali gus memecahkan rekod persidangan iklim PBB yang paling lama.
Menteri Iklim Ireland, Darragh O’Brien yang mewakili presiden bergilir EU berkata mereka tidak dapat menerima keputusan yang mengetepikan bahan api fosil.
Manakala utusan iklim Kepulauan Marshall Kathy Jetnil-Kijiner mengecam penghapusan sasaran dana adaptasi AS$120 bilion dan menyifatkan negara membangun tidak boleh bergantung kepada janji kosong.
Isu bahan api fosil mencetuskan perbalahan apabila negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi menentangnya.
Perunding iklim Arab Saudi Mohammad Ayoub menegaskan semua penyelesaian wajar dipertimbang mengikut keadaan negara masing-masing.
Keputusan itu turut dikritik kumpulan alam sekitar dan United Kingdom kerana gagal menetapkan langkah lebih tegas bagi menangani ancaman pemanasan global melepasi had 1.5 darjah Celsius. – AFP