OPR dijangka kekal 2.75 peratus, inflasi terkawal – Pakar

Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 November – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 5 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi terkawal dan pertumbuhan ekonomi mampan menyokong pengekalan dasar monetari pada masa ini.
  • BNM mungkin menaikkan OPR jika tekanan harga tenaga atau makanan, permintaan domestik terlalu kukuh, atau perkembangan kadar faedah global menjejaskan kos import.
  • Perubahan OPR beri kesan kepada bayaran pinjaman isi rumah, pendapatan boleh guna dan kadar pulangan produk simpanan.

Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi berkata, jangkaan itu mengambil kira tekanan inflasi yang masih terkawal serta pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

Menurut beliau, unjuran berkenaan turut disokong kadar inflasi pada September yang berada pada paras 1.8 peratus, selain pertumbuhan ekonomi yang dianggarkan berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan berlaku sedikit kenaikan sekiranya BNM menilai wujud tekanan terhadap harga tenaga dan makanan, permintaan domestik yang terlalu kukuh serta perkembangan ekonomi global dan kadar faedah negara lain yang boleh mempengaruhi ringgit serta kos import,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, sebarang perubahan OPR akan memberi kesan terhadap komitmen pinjaman pengguna, kos pembiayaan serta keputusan pelaburan perniagaan.

“Bagi pengguna, sekiranya OPR dinaikkan, bayaran pinjaman berkadar terapung seperti pinjaman perumahan boleh meningkat. Keadaan ini boleh mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah.

“Pada masa sama, kadar pulangan bagi sesetengah produk simpanan atau deposit mungkin meningkat, bergantung pada tawaran bank,” katanya.

Mengulas prospek dasar monetari pada 2027, Dr Nur Surayya berpandangan penyelarasan OPR hanya wajar dipertimbangkan sekiranya tekanan inflasi domestik meningkat secara meluas dan berterusan.

“Pertumbuhan ekonomi yang kukuh semata-mata tidak seharusnya menjadi asas kepada kenaikan OPR. Sebaliknya, keputusan itu perlu berpandukan perkembangan data ekonomi dan tekanan harga semasa,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.