Banjir: Lebih 500 rumah terjejas di Sungai Buloh

Foto FB Ramanan Ramakrishnan Official Media

KUALA LUMPUR, 3 November – Lebih 500 rumah terjejas akibat banjir selepas hujan lebat melanda beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Selangor, terutama di Kampung Melayu Subang, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk terjejas ditempatkan di PPS Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.
  • Pusat Khidmat Rakyat dan sukarelawan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan keperluan asas.
  • Penduduk diminta berwaspada, ikut arahan pihak berkuasa dan utamakan keselamatan diri serta keluarga.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata penduduk yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.

PPS berkenaan akan beroperasi sepanjang tempoh yang diperlukan bagi memastikan penduduk terjejas mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya.

“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dengan sukarelawan kita sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan, khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Shah Alam, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan JPKK Kampung Melayu Subang bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan keperluan asas penduduk yang terkesan diberikan perhatian sewajarnya.

“Saya juga menyeru seluruh penduduk Sungai Buloh agar sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca, mengikuti arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan kami. Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan terus memantau keadaan semasa dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan tiada penduduk yang terkesan terpinggir daripada menerima bantuan yang diperlukan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.