
KUALA LUMPUR, 2 November – Sebuah premis penyembelihan ayam di Puchong, Selangor yang menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar, didapati tidak tersenarai dalam rekod pemantauan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
- Menteri memandang serius perkara kerana melibatkan pematuhan hukum syarak, kebersihan dan keyakinan masyarakat terhadap status halal.
- Premis disyaki melakukan penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran tanpa permit, kelulusan pihak berkuasa tempatan atau sijil halal.
- JAKIM akan memperkukuh pemeriksaan bersepadu, perkongsian maklumat dan siasatan aduan bagi melindungi pengguna serta integriti bekalan ayam halal.
- Bagi logo atau pernyataan halal yang mengelirukan, JAKIM bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, KPDN dan agensi berkaitan untuk semakan serta siasatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu kerana membabitkan pematuhan hukum syarak, kebersihan dan keyakinan masyarakat terhadap status halal bekalan ayam di pasaran.
“Premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa permit serta kelulusan pihak berkuasa tempatan dan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
“Maka, segala rekod operasi dan jualan oleh premis ini tidak berada dalam rekod pemantauan pensijilan halal JAKIM dan dan JAIN,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini.
Mengulas lanjut, meskipun pensijilan halal Malaysia bersifat sukarela namun beliau menekankan kepentingan kerjasama pelbagai agensi mengikut bidang kuasa masing-masing dalam mengawal selia semua premis penyembelihan.
Sehubungan itu katanya, JAKIM akan terus memperkukuh pemeriksaan bersepadu, perkongsian maklumat serta siasatan terhadap aduan bagi melindungi kepentingan pengguna dan integriti bekalan ayam halal.
Bagi produk atau premis yang disyaki menggunakan logo atau pernyataan halal yang mengelirukan, JAKIM bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan untuk menjalankan semakan dan siasatan.