
KUALA LUMPUR, 3 November – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Global Vision Lab Sdn Bhd (GVL) sedang meneroka cadangan pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Perak dengan kapasiti kuasa yang disasarkan melebihi 100 megawatt (MW).
- Inisiatif selari usaha negeri kembangkan asas pertumbuhan ekonomi melalui teknologi bernilai tinggi dan menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030.
- Projek berpotensi cipta pekerjaan berkemahiran tinggi, kukuh rantaian bekalan teknologi tempatan, dan guna AI dalam pembuatan serta logistik.
- PKNPk dan GVL tandatangani NDA serta surat persetujuan; penilaian teknikal dan komersial termasuk kesesuaian tapak, bekalan kuasa, penyejukan dan kesalinghubungan.
Cadangan itu dikemukakan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap teknologi pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) serta aplikasi berasaskan unit pemprosesan grafik (GPU) di Malaysia dan rantau ini.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq berkata, inisiatif berkenaan selari dengan usaha negeri memperluas asas pertumbuhan ekonomi menerusi aktiviti teknologi bernilai tinggi, selain menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030.
“Projek ini berpotensi meletakkan Perak sebagai destinasi pembangunan infrastruktur digital berteknologi tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri dalam ekosistem digital Malaysia dan ASEAN.
“Kami melihat potensi manfaat yang lebih luas, termasuk peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pengukuhan rantaian bekalan teknologi tempatan serta penggunaan AI dalam sektor seperti pembuatan dan logistik,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata PKNPk akan memberi tumpuan kepada penilaian potensi nilai ekonomi projek kepada negeri, termasuk peluang penyertaan bakat dan perusahaan tempatan.
Sebagai langkah awal, kedua-dua pihak telah menandatangani Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dan Surat Persetujuan bagi membolehkan pertukaran maklumat serta penelitian awal terhadap aspek teknikal, infrastruktur dan potensi komersial projek.
Penilaian itu merangkumi kesesuaian tapak, ketersediaan bekalan kuasa, sistem penyejukan, kesalinghubungan rangkaian serta keperluan infrastruktur berkaitan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GVL, Y.L. Lee berkata, peningkatan permintaan terhadap AI generatif dan pengkomputeran berprestasi tinggi menjadikan pembangunan infrastruktur digital yang kukuh dan fleksibel semakin penting.
“Kerjasama dengan PKNPk dan rakan projek membolehkan kami menilai keperluan bagi memastikan cadangan pembangunan pusat data itu memenuhi keperluan pasaran serantau,” katanya dalam kenyataan sama.
Katanya, tumpuan ketika ini adalah terhadap penelitian keperluan operasi dan aspek komersial bagi mengenal pasti model pembangunan yang berdaya maju.
PKNPk akan menyelaras penglibatan pihak berkepentingan di peringkat negeri, manakala GVL menerajui perancangan pembangunan serta penyelarasan penilaian teknikal dan komersial.
ITMAN Service Center (M) Sdn Bhd dan Future Quantum Co Ltd turut disenaraikan sebagai rakan projek.