Permohonan pinjaman hartanah meningkat 12.6 peratus

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah meningkat 12.6 peratus tahun ke tahun pada September 2026 selepas mencatatkan penurunan empat peratus pada Ogos, menunjukkan permintaan dalam pasaran hartanah kekal secara relatif stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan dan kelulusan pinjaman meningkat pada September, dipacu oleh pertambahan permohonan.
  • Jumlah permohonan terkumpul meningkat sedikit, manakala kelulusan terkumpul menyusut, menandakan pemaju mungkin hadapi jualan lebih mencabar.
  • Prospek pendapatan hartanah bercampur, tekanan kos tinggi dan sentimen pengguna berhati-hati mengehadkan potensi pertumbuhan.

Menurut MBSB Research, permohonan pinjaman turut meningkat enam peratus secara bulanan pada September selepas mencatatkan penurunan 7.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Firma penyelidikan itu memaklumkan, jumlah permohonan pinjaman terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM502.7 bilion, mencerminkan sentimen pembelian secara keseluruhan kekal stabil meskipun pengguna masih berhati-hati berikutan persekitaran kos yang lebih tinggi.

“Kelulusan pinjaman bagi pembelian hartanah meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun pada September selepas mencatatkan penurunan 13.3 peratus pada Ogos.

“Bagaimanapun, jumlah kelulusan pinjaman terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 menyusut 0.6 peratus tahun ke tahun kepada RM211.2 bilion,” jelas firma penyelidikan itu dalam laporan sektor hartanah, hari ini.

Tambahnya, peningkatan kelulusan pinjaman pada September sebahagian besarnya didorong oleh pertambahan permohonan pinjaman, namun jumlah kelulusan terkumpul yang masih rendah menunjukkan pemaju hartanah mungkin berdepan persekitaran jualan yang lebih mencabar.

Jelas MBSB Research, prospek pendapatan sektor hartanah dijangka kekal bercampur-campur berikutan tekanan kos yang berterusan, manakala persekitaran kos yang lebih tinggi boleh terus mempengaruhi sentimen dan kemampuan pembeli rumah.

Walaupun pemaju yang mempunyai penawaran produk kukuh dan projek di lokasi strategik dijangka terus menerima permintaan yang memuaskan, pertumbuhan pendapatan sektor itu dijangka lebih terpilih dan bukannya menyeluruh.

“Permintaan yang masih stabil, sentimen pengguna yang berhati-hati serta kekurangan pemacu pertumbuhan baharu yang ketara dijangka mengehadkan potensi peningkatan penilaian sektor dalam tempoh terdekat,” menurut firma penyelidikan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.