Tambang RTS Link dijangka diumum Januari 2027

Foto Fail BERNAMA

JOHOR BAHRU, 25 November – Kadar tambang rasmi perkhidmatan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS Link) bagi perjalanan sehala dan pergi balik dijangka diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Januari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar tambang perlu mengambil kira kemampuan pengguna, khususnya rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura.
  • Kira-kira 400,000 rakyat Malaysia menggunakan Tambak Johor setiap hari untuk bekerja di negara jiran.
  • Persediaan operasi merangkumi bas pengantara, kemudahan sambungan perjalanan dan pengurusan lalu lintas sekitar Johor Bahru.
  • Ujian sistem dan operasi percubaan disasarkan selesai menjelang 31 Disember, manakala RTS mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

Penetapan tambang itu masih dalam perbincangan antara syarikat pengendali RTS Operations Pte Ltd (RTSO) dengan kerajaan Malaysia dan Singapura, menjelang pengoperasian perkhidmatan berkenaan pada Februari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kadar yang bakal ditetapkan perlu mengambil kira kemampuan pengguna, khususnya mereka yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja.

“Pada Februari lepas, laporan akhbar ada menyatakan anggaran antara SGD5 hingga SGD7 setiap perjalanan ataupun RM15.50 hingga RM21.70 bagi setiap perjalanan.

“Namun, kadar tambang rasmi akan diumumkan sebelum RTS memulakan operasi yang dijadualkan pada Februari 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Baharudin Mohamed Taib pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini.

Menurutnya, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia menggunakan Tambak Johor setiap hari untuk bekerja di negara jiran itu.

Sehubungan itu, persediaan pengoperasian RTS turut memberi tumpuan kepada penyediaan bas pengantara, kemudahan sambungan perjalanan serta pengurusan lalu lintas di kawasan Johor Bahru dan sekitarnya.

Semua ujian sistem dan operasi percubaan perkhidmatan berkenaan disasarkan selesai menjelang 31 Disember ini.

RTS dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Perkhidmatan itu akan menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.