
KUALA LUMPUR, 26 November – Malaysia perlu memanfaatkan perubahan landskap geopolitik dan penyusunan semula rantaian bekalan global sebagai peluang untuk memperkukuh industri pembuatan serta membangunkan teknologi tempatan bernilai tinggi.
- Pemain industri perlu menerima pakai teknologi baharu dan meningkatkan keupayaan pengeluaran, bukan terus bergantung pada buruh asing murah.
- AI dan automasi mampu meningkatkan produktiviti serta daya saing, selaras dengan sasaran membangunkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.
- Geran, pembiayaan bersubsidi dan skim pajakan automasi membantu PKS mengurangkan kos permulaan dan operasi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, keupayaan negara merebut peluang itu bergantung kepada kesediaan pemain industri menerima pakai teknologi baharu dan meningkatkan keupayaan pengeluaran.
“Sekiranya kita terus bergantung kepada tenaga buruh asing yang murah, industri negara tidak akan berkembang sepantas yang sepatutnya dan kita akan terus ketinggalan.
“Kita perlu membangunkan teknologi yang sangat penting, tidak boleh digantikan dan tiada pengganti di pasaran.
“Sekiranya kita berjaya membangunkan teknologi yang tidak boleh digantikan dan amat diperlukan, kita mampu menjadi syarikat yang sangat berjaya serta sukar ditandingi pesaing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pembuatan Pintar Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam operasi pembuatan pula mampu meningkatkan produktiviti, selain memperkukuh daya saing industri negara.
Usaha itu juga menyokong sasaran kerajaan untuk membangunkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030 menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“Negara tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya perlu mempercepat transformasi industri menerusi penggunaan teknologi dan automasi,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan sokongan termasuk geran menerusi program Smart Tech Up serta pembiayaan bersubsidi oleh Malaysia Industrial Development Finance (MIDF) bagi membantu syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mendapatkan sistem automasi.
Dalam pada itu, PKS turut digalakkan memanfaatkan skim pajakan sistem automasi bagi mengurangkan keperluan modal permulaan, dengan penjimatan kos operasi boleh digunakan untuk membiayai penggunaan sistem berkenaan.