Malaysia teruskan rundingan, pertahan had tarif 19 peratus

Rundingan merangkumi usaha mengemukakan penjelasan serta justifikasi berhubung isu lebihan kapasiti yang sedang disiasat AS di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974

KUALA LUMPUR, 26 November – Malaysia sedia meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) sehingga suku pertama 2027 bagi memastikan kadar tarif keseluruhan tidak melebihi 19 peratus, selaras persetujuan di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang pernah dicapai sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia akan meneruskan rundingan dengan AS sehingga suku pertama 2027 berhubung siasatan lebihan kapasiti di bawah Seksyen 301.
  • Johari menegaskan kadar keseluruhan tarif tidak boleh melebihi had 19 peratus yang dipersetujui dalam ART.
  • Malaysia akan mengemukakan penjelasan dan justifikasi bahawa negara ini tidak sepatutnya dikenakan tarif tambahan.
  • Penilaian lebihan kapasiti turut mengambil kira sumber produk, termasuk bahan yang diperoleh dari negara ketiga.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika menyuarakan komitmen itu memaklumkan rundingan merangkumi usaha mengemukakan penjelasan dan justifikasi berhubung isu lebihan kapasiti yang sedang disiasat AS di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.

“Setakat ini, AS memberi indikasi awal terhadap kemungkinan Malaysia berdepan kadar tarif antara 18 hingga 25 peratus susulan siasatan berkenaan.

“Ketika Perdana Menteri menandatangani ART, kadar tarif maksimum yang dipersetujui adalah 19 peratus dan Washington tidak boleh mengubah ketetapan yang telah dipersetujui.

“Sekiranya terdapat perkara yang tidak dipersetujui, kita akan terus berbincang dan selagi belum ada keputusan muktamad, jangan buat sebarang kenyataan

“Namun, kita masih mempunyai tempoh sehingga suku pertama tahun depan untuk berunding, memberikan penjelasan serta mengemukakan justifikasi mengenai Malaysia tidak sepatutnya dikenakan kadar tersebut.

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan tarif yang dikenakan tidak boleh melebihi 19 peratus,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pemasangan Tempatan BYD.

Sebarang perubahan dengan persetujuan itu, katanya perlu dibincangkan terlebih dahulu antara kedua-dua pihak sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, memandangkan Malaysia merupakan antara terawal menandatangani perjanjian berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberi jaminan industri tempatan tidak mempunyai lebihan kapasiti yang boleh dikaitkan dengan siasatan perdagangan AS itu.

“Penilaian terhadap isu lebihan kapasiti bukan hanya mengambil kira keupayaan pengeluaran sesebuah negara, malah turut melibatkan sumber produk yang digunakan dalam proses pembuatan, termasuk yang diperoleh dari negara ketiga.

“Contohnya, saya tidak mahu menyebut negeri atau negara itu dan katakan Negara A, mereka mengeksport produk itu ke Malaysia dengan kita menggunakannya untuk menghasilkan produk sendiri.

“Tetapi jika produk itu datang daripada lebihan kapasiti, kita dianggap turut bekerjasama dengan negara ketiga itu. Jadi, kini mereka telah memberikan beberapa petunjuk,” katanya.

Sebelum ini, AS mencadangkan untuk mengenakan tarif tambahan sehingga 18 peratus terhadap barangan Malaysia susulan siasatan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.

Siasatan itu meneliti dakwaan dasar perindustrian dan amalan pembuatan Malaysia menyumbang kepada lebihan kapasiti struktur serta pengeluaran yang didakwa membebankan atau menyekat perdagangan AS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.