
KUALA LUMPUR, 26 November – Malaysia memerlukan tujuh pendekatan strategik bagi memperkukuh asas ekonomi negara serta membuka ruang pertumbuhan baharu dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global.
- Manfaatkan kedudukan strategik Malaysia dan perkukuh kerjasama ASEAN dalam menghadapi persaingan ekonomi global.
- Perkukuh penguasaan teknologi dan jadikan Malaysia bukan sahaja negara perdagangan, tetapi juga negara teknologi.
- Perkasa golongan kelas pertengahan dan bantu syarikat tempatan berkembang menjadi syarikat bersaiz sederhana.
- Rancakkan pembangunan ekonomi negeri, ekonomi penjagaan dan hijau, serta penyertaan wanita dalam tenaga buruh.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pendekatan itu termasuk memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia dalam persaingan ekonomi antara kuasa besar, memperkukuh kerjasama ASEAN, memperkukuh peguasaan teknologi, memperkasa golongan kelas pertengahan dan syarikat bersaiz sederhana serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri.
Jelasnya, pendekatan tersebut dapat membentuk struktur ekonomi yang lebih kukuh, dengan pertumbuhan dipacu oleh kekuatan pasaran domestik serta keupayaan perniagaan tempatan.
“Ini merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi. Apabila lebih ramai rakyat Malaysia berada dalam golongan kelas pertengahan, memperoleh pendapatan lebih tinggi.
“Jika lebih banyak syarikat tempatan berkembang menjadi syarikat bersaiz sederhana yang berkeupayaan memperluas operasi ia akan memacu ekonomi negara ke hadapan.
“Malaysia juga tidak harus hanya melihat dirinya sebagai negara perdagangan tetapi juga negara teknologi, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan bertemakan Kecerdasan Buatan (AI) dan Ketahanan Ekonomi dengan Pertumbuhan Inklusif anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Tambahnya, institusi kewangan juga perlu meningkatkan kepakaran dalam menilai risiko serta menyediakan pembiayaan kepada syarikat teknologi bagi menyokong perkembangan sektor berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan ekonomi penjagaan, peralihan kepada ekonomi hijau serta peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga buruh sebagai pelengkap kepada usaha memperkukuh ekonomi negara pada masa hadapan.