
WASHINGTON, 3 November – Amerika Syarikat (AS) menyerang Pulau Qeshm, Iran, pada Isnin, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), ketika Presiden Donald Trump memberi bayangan bahawa rundingan dengan Tehran bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak lapan bulan lalu menunjukkan perkembangan positif.
- WSJ melaporkan serangan itu sebahagian siri serangan kecil rahsia yang dilancarkan Washington terhadap Iran sejak beberapa minggu.
- Agensi Iran IRNA melaporkan lima letupan berturut-turut, beberapa penduduk mendakwa melihat dua pesawat di ruang udara pulau.
- Beberapa pegawai AS kata tindakan bersifat defensif untuk halang Iran menyerang kapal komersial di Selat Hormuz.
WSJ, yang memetik pegawai AS tanpa mendedahkan identiti mereka, melaporkan serangan ke atas pulau terbesar di Selat Hormuz itu merupakan sebahagian daripada beberapa siri serangan berskala kecil yang dilancarkan Washington secara rahsia terhadap Iran sejak beberapa minggu lalu.
Agensi berita rasmi Iran (IRNA), melaporkan lima letupan berturut-turut kedengaran di pulau berkenaan, manakala beberapa penduduk mendakwa melihat dua pesawat terbang di ruang udaranya.
Pentagon merujuk pertanyaan mengenai laporan serangan itu kepada CENTCOM, namun pihak berkenaan belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan AFP.
Menurut WSJ, beberapa pegawai AS menyifatkan serangan berkenaan sebagai tindakan defensif bagi menghalang Iran daripada menyerang kapal-kapal komersial di Selat Hormuz.
Laluan strategik itu merupakan antara koridor utama penghantaran minyak dunia, namun sebahagian besarnya terjejas akibat sekatan Iran sejak AS dan Israel mencetuskan konflik bermula pada akhir Februari lalu.
Akhbar itu turut melaporkan Washington tidak mengumumkan secara terbuka serangan berkenaan bagi mengelakkan sebarang tanggapan bahawa AS berhasrat menyambung semula operasi ketenteraan berskala besar.
Sementara itu, Trump pada Isnin, menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS, berkata satu perjanjian dengan Tehran “berkemungkinan dapat dicapai”.
Perkembangan itu turut menyumbang kepada kejatuhan harga minyak mentah dunia lebih tujuh peratus pada Isnin, selepas melonjak susulan sekatan Iran di Selat Hormuz, berikutan harapan terhadap kemungkinan konflik berkenaan dapat ditamatkan. – AFP