JDT terlepas tiga mata di Ratchaburi

Foto FB JOHOR Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 25 November – Johor Darul Ta’zim (JDT) terlepas peluang membawa pulang tiga mata penuh selepas diikat Ratchaburi FC 1-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Ratchaburi, Thailand.

RINGKASAN BERITA AI
  • Marcos Guilherme membuka jaringan JDT pada minit ke-36 selepas menyudahkan hantaran Joao Figueiredo.
  • Njiva Rakotoharimalala menyamakan kedudukan pada minit ke-56, sekali gus menyuntik semangat Ratchaburi untuk terus menyerang.
  • JDT gagal memanfaatkan beberapa peluang lewat permainan, termasuk percubaan Arribas dan tandukan Stoichkov.

Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Marcos Guilherme yang mudah menolak bola ke gawang selepas penjaga gol tuan rumah gagal menepis kemas hantaran Joao Figueiredo.

Bagaimanapun, kelebihan JDT tidak bertahan lama apabila Njiva Rakotoharimalala menyamakan kedudukan buat Ratchaburi pada minit ke-56.

Jaringan itu menyuntik semangat tuan rumah yang semakin agresif melancarkan serangan dalam usaha memburu gol kemenangan.

JDT hampir kembali mendahului pada minit ke-75, namun percubaan Arribas berjaya diselamatkan penjaga gol Ratchaburi.

Dua minit kemudian, Njiva berpeluang meletakkan tuan rumah di hadapan selepas menerima hantaran Ekanit Panya, namun percubaannya melambung tinggi.

Harimau Selatan terus menggandakan asakan pada penghujung permainan, namun rembatan Nacho Mendez pada minit ke-87 melambung melepasi palang.

Arribas sekali lagi menguji penjaga gol tuan rumah menerusi rembatan tepat pada minit ke-90, manakala tandukan Stoichkov dari dalam kotak penalti pada masa kecederaan gagal menepati sasaran.

Kegagalan kedua-dua pasukan memanfaatkan peluang menyaksikan keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.- BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.