
KUALA LUMPUR, 25 November – Pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said merupakan satu kehilangan besar buat negara.
- A. Samad Said gigih memperjuangkan martabat bahasa dan kesusasteraan Melayu sebagai pendidik bangsa.
- Beliau konsisten memperjuangkan keadilan sejak 1998 dan memiliki disiplin pembacaan serta penguasaan sastera yang luar biasa.
- Baginya, kesusasteraan membentuk jati diri dan tamadun bangsa, maka legasi keilmuannya wajar diwarisi generasi akan datang.
Perkara itu diakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menganggap Allahyarham sebagai sahabat setia yang sentiasa bersama-sama ketika menempuh detik sukar.
Menurutnya, Allahyarham bukan sahaja seorang pengkarya prolifik, malah pendidik bangsa yang gigih memperjuangkan martabat bahasa dan kesusasteraan Melayu.
“Beliau seorang tokoh yang gigih, pencinta seni dan sastera serta pendidik bangsa.
“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada negara, dan sumbangan serta legasinya wajar terus diangkat dan dihargai,” ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.
Perdana Menteri berkata, hubungan erat mereka turut dizahirkan melalui pertukaran surat, selain pendirian konsisten Allahyarham sejak 1998 dalam memperjuangkan keadilan dan memartabatkan kesusasteraan Melayu.
Datuk Seri Anwar turut mengagumi disiplin pembacaan Allahyarham yang disifatkannya luar biasa, termasuk penguasaan terhadap pelbagai karya sastera dunia serta kebiasaannya membuat catatan peribadi pada setiap helaian buku.
“Kalau dari segi pembacaan, saya belum jumpa seorang yang begitu gigih membaca sepertimana Datuk Seri Dr. A Samad Said.
“Sastera dari satu dunia dia cuba kuasai dana saya tidak fikir mudah untuk menggantikan kemahiran penguasaan ilmunya, terutama sastera,” katanya.
Tambah beliau, Allahyarham berpegang kepada prinsip bahawa kesusasteraan bukan sekadar bidang khusus, sebaliknya menjadi tunjang dalam pembentukan jati diri dan pembinaan tamadun bangsa.
Sehubungan itu, kerajaan perlu memikirkan pendekatan terbaik bagi menghargai serta mengabadikan sumbangan Allahyarham agar legasi keilmuan dan perjuangannya terus diwarisi generasi akan datang.
Datuk Seri A. Samad menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang Selasa, selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua, selain turut menghidap diabetes.