
KUALA LUMPUR, 25 November -Radio Televisyen Malaysia (RTM) diminta meneliti beberapa sajak dan karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr. A. Samad Said untuk dibacakan sebagai penghormatan terhadap sumbangan kepada dunia sastera negara.
- Karya Allahyarham diharap terus dikenali dan dihayati masyarakat, khususnya generasi muda.
- Beliau meninggalkan kesan melalui perjuangan dalam isu kemanusiaan dan hak rakyat.
- Sajak “Tetamu Senja” dan karya lain menjadi warisan sastera yang terus dibaca merentas generasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha itu diharap dapat memastikan karya Allahyarham terus dikenali dan dihayati masyarakat, khususnya generasi muda.
Jelas beliau, Allahyarham bukan sahaja dikenali menerusi karya sasteranya, malah turut meninggalkan kesan melalui perjuangan dalam isu kemanusiaan dan hak rakyat.
“Dan ada beberapa pandangan yang disampaikan oleh beberapa tokoh wartawan dan penulisan yang hadir dan akan kita teliti sebagai tanda penghormatan di atas jasa dan bakti Allahyarham kepada dunia penulisan dan dunia sastera dalam negara kita,
“Jadi Insya-Allah saya juga akan minta pihak RTM meneliti beberapa sajak dan karya Allahyarham dan kita carikan masa untuk membacakannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Datuk Seri Dr A Samad Said.
Datuk Seri Fahmi turut berkongsi bahawa pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham adalah ketika pelancaran buku koleksi kartun terbaharu oleh kartunis Zunar, kira\-kira dua tahun lalu.
Beliau turut menyifatkan karya Allahyarham, termasuk sajak ‘Tetamu Senja’ yang ditulis pada 13 November 1955, sebagai warisan sastera yang akan terus dibaca dan diteliti merentas generasi.