
LONDON, 25 November- Senegal dikembalikan status sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), lapor PA Media/dpa.
- CAF pada mulanya menolak rayuan Maghribi, tetapi kemudian memberikan kemenangan 3-0 kepada pasukan itu selepas pemain Senegal meninggalkan padang.
- Senegal membawa keputusan CAF ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
- CAS mendengar hujah kedua-dua pihak pada 8 Okt.
- CAS membatalkan keputusan CAF dan mengembalikan kemenangan asal 1-0 kepada Senegal.
Senegal memenangi perlawanan akhir AFCON dengan menewaskan Maghribi 1-0 selepas masa tambahan hasil jaringan Pape Gueye pada 18 Jan tahun ini.
Bagaimanapun, Persekutuan Bolasepak Maghribi mengemukakan rayuan kepada penganjur kejohanan, Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), supaya keputusan itu dibatalkan selepas pemain Senegal meninggalkan padang sebagai tanda bantahan terhadap keputusan kontroversi memberikan sepakan penalti kepada Maghribi pada penghujung separuh masa kedua, sejurus selepas jaringan Senegal dibatalkan.
Bantahan pemain Senegal itu menyebabkan perlawanan tertangguh selama 15 minit. Selepas pemain mereka kembali ke padang, pemain Maghribi, Brahim Diaz, gagal menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus memaksa perlawanan diteruskan ke masa tambahan.
Rayuan Maghribi pada mulanya ditolak, namun panel CAF kemudiannya menerima rayuan itu dan memutuskan bahawa tindakan pemain Senegal meninggalkan padang bermakna pasukan berkenaan menarik diri daripada perlawanan, sekali gus memberikan kemenangan 3-0 kepada Maghribi.
Senegal kemudian membawa perkara itu ke CAS, yang mendengar hujah kedua-dua pihak pada 8 Okt.
Mahkamah itu kini mengembalikan keputusan asal kemenangan 1-0 kepada Senegal.-BERNAMA