
BAKU, 25 November- Barcelona mampu meneruskan permulaan cemerlang dalam kempen Liga Juara Eropah, walaupun tanpa khidmat pemain sayap, Lamine Yamal yang mengalami kecederaan.
- Frenkie de Jong mengakui ketiadaan Lamine Yamal akan dirasai, namun yakin skuad Barcelona memiliki bakat untuk menang.
- Hansi Flick meminta pasukannya kekal fokus dan berkata mereka tahu tindakan yang perlu diambil tanpa Yamal.
- Yamal berehat akibat masalah buku lali, manakala penggantinya masih belum ditentukan.
Keyakinan itu disuarakan Pemain tengah Barca, Frenkie de Jong.
“Ketiadaan pemain seperti Lamine pasti akan dirasai. Dia seorang pemain yang mempunyai bakat luar biasa dan mampu mencipta ancaman secara sendirian.
“Dalam situasi yang tidak berbahaya sekalipun, dia mampu mewujudkan ancaman. Memang kesannya akan terasa, tetapi kami mempunyai skuad yang penuh dengan bakat dan pemain-pemain yang sangat hebat, jadi kami mampu menang tanpanya,” katanya.
De Jong berkata demikian kepada pemberita.
Dilaporkan, pemain berusia 19 tahun itu tidak menyertai pasukan ke Azerbaijan akibat masalah buku lali yang dialaminya, hujung minggu lalu.
Sementara itu, jurulatih Barca, Hansi Flick, bersetuju dengan pandangan pemain tengah dari Belanda itu.
Beliau bagaimanapun menuntut agar pasukannya kekal fokus bagi pertembungan menentang Sabah.
“Kami pernah bermain tanpa Lamine sebelum ini, jadi kami tahu apa yang perlu dilakukan,” kata jurulatih itu.
“Bagi kami, dia pemain yang sangat penting. Kami telah memeriksanya dan memutuskan adalah lebih baik untuk dia kekal di rumah.
“Diharapkan semuanya berjalan lancar dan dia akan kembali bersedia untuk hujung minggu ini.” katanya.
Pengganti Yamal setakat ini, belum ditentukan. -AFP