Lima maut nahas helikopter tentera Turkiye

Foto hiasan / AFP

ANKARA, 25 November– Lima anggota tentera maut selepas sebuah helikopter tentera Turkiye terhempas ketika menjalani penerbangan latihan pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian memaklumkan helikopter yang terlibat ialah jenis AS-532 Cougar buatan Perancis, pesawat pengangkut anggota tentera.
  • Helikopter itu dilaporkan berlepas dari pangkalan tentera di Eskisehir.
  • Nahas berlaku 12 hari selepas empat anggota tentera maut dalam nahas helikopter S-70 di timur Turkiye; punca kejadian masih belum diketahui.

Menurut Kementerian Pertahanan Turkiye, nahas membabitkan helikopter milik tentera udara negara itu meragut nyawa lima anggota yang disifatkan sebagai wira negara.

“Lima anggota tentera kita terkorban dalam nahas helikopter tentera udara yang berlaku ketika penerbangan latihan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, kementerian berkenaan memaklumkan kemalangan itu membabitkan helikopter jenis AS-532 ketika menjalankan misi latihan.

Helikopter AS-532 Cougar buatan Perancis itu merupakan pesawat pengangkut anggota tentera.

Berdasarkan rakaman televisyen, beberapa kenderaan kecemasan berada di kawasan tanah lapang berhampiran daerah Tepebasi.

Helikopter berkenaan dilaporkan berlepas dari sebuah pangkalan tentera di Eskisehir, yang terletak di antara Istanbul dengan Ankara.

Nahas terbaharu itu berlaku hanya 12 hari selepas empat anggota tentera maut apabila sebuah helikopter jenis S-70 terhempas di timur Turkiye pada 12 November lalu.

Punca kejadian terdahulu masih belum diketahui.

Tiada penjelasan rasmi, diberikan.

Turkiye memiliki angkatan tentera kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selain menempatkan pasukannya bagi operasi memerangi keganasan di Iraq dan Syria.

Negara itu juga tidak lagi berdepan konflik bersenjata di wilayahnya sendiri sejak pemberontakan kumpulan Kurdish berakhir, susulan pelaksanaan proses damai pada 2024 antara kerajaan Turkiye dan Parti Pekerja Kurdistan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.