
DHAKA, 25 November – Kenaikan gaji minimum sebanyak 36 peratus diterima pekerja industri pakaian di Bangladesh, selepas melalui rundingan panjang bersama pemilik kilang.
- Semakan gaji biasanya dibuat setiap lima tahun, namun pekerja menerima semakan baharu selepas tiga tahun.
- Pekerja pada awalnya menuntut gaji minimum bulanan 30,000 taka berbanding kadar semasa 12,500 taka.
- Pekerja berkata gaji gagal mengimbangi peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan.
- Jawatankuasa semakan gaji menetapkan gaji minimum 17,000 taka selepas undian dijalankan.
Wakil kesatuan pekerja, Babul Akhter memaklumkan semakan kenaikan gaji diterima setiap lima tahun, namun kali ini, mereka menerima semakan gaji baharu selepas tiga tahun.
“Walaupun kami tidak berpuas hati sepenuhnya, hasil yang dicapai juga tidak terlalu mengecewakan,”katanya.
Pada peringkat awal, pekerja menuntut gaji minimum bulanan sebanyak 30,000 taka (AS$240), berbanding kadar semasa iaitu 12,500 taka.
Pekerja mendakwa kadar gaji mereka gagal mengimbangi peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan.
Bantahan besar-besaran telah berlaku sejak Oktober lepas dengan golongan pekerja menuntut kenaikan gaji.
Sementara itu, Hakim daerah dan sesyen, Syed Azad Subhani yang mempengerusikan jawatankuasa semakan gaji berkata “majoriti menyokong penetapan gaji minimum sebanyak 17,000 taka” (AS$139), selepas satu undian dijalankan pada Rabu.
Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh berkata pada Ahad bahawa demonstrasi berkenaan menyebabkan industri itu mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah AS$428 juta, manakala pesanan bernilai AS$254 juta telah dipindahkan ke negara lain.-AFP