Houthi ugut lancar serangan balas

Riyadh telah mengarahkan orang awam di Hodeida untuk berpindah/Foto AFP

RIYADH, 25 November – Pakatan diketuai Arab Saudi pada Rabu telah melancarkan serangan ke atas Hodeida, Yaman selepas kumpulan Houthi mengancam untuk membalas serangan terhadap pelabuhan-pelabuhan Arab Saudi di Laut Merah, sekiranya serangan berkenan dilakukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Riyadh mengarahkan orang awam di Hodeida berpindah melalui hantaran media sosial.
  • Sebuah menara perniagaan di Riyadh menjadi sasaran serangan Houthi pada Selasa.
  • Seramai 11 individu cedera dalam serangan itu, menurut Pertahanan Awam Arab Saudi.
  • Houthi mengancam menyasarkan pelabuhan Jeddah dan pelabuhan Arab Saudi lain di pesisir Laut Merah; Almasirah melaporkan serangan di Hodeida tanpa korban.

Perkara berkenaan dimaklumkan menerusi hantaran di platform X.

Riyadh sebelum itu telah mengarahkan orang awam di Hodeida untuk berpindah melalui hantaran di media sosial pada awal pagi Rabu.

Pada Selasa, Turki al-Maliki yang merupakan jurucakap pakatan berkenaan menerusi hantaran di X memaklumkan sebuah menara perniagaan Riyadh menjadi sasaran serangan kumpulan Houthi.

Menurut Pertahanan Awam Arab Saudi, 11 individu cedera dalam serangan berkenaan.

Sebelum itu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree telah mengancam untuk melancarkan tindakan balas terhadap Arab Saudi sekiranya serangan dilakukan.

“Pelabuhan Jeddah, bersama-sama semua pelabuhan Arab Saudi yang lain di sepanjang pesisir pantai Laut Merah, akan menjadi sasaran,”katanya menerusi hantaran di Telegram pada Rabu.

Media Houthi, Almasirah, melaporkan berlaku satu “serangan ke atas pelabuhan Hodeida” tanpa memberikan maklumat lanjut dengan setakat ini, tiada kematian mahupun kecederaan dilaporkan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.