
KUALA LUMPUR, 25 November – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi RM4,100 satu tan pada Disember, disokong harga yang lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain, prospek permintaan yang bertambah baik serta risiko bekalan menjelang 2027.
- Kebanyakan faktor yang menekan harga telah diambil kira pasaran, manakala ketidaktentuan geopolitik dan kemungkinan campur tangan Indonesia boleh memberi sokongan tambahan.
- Harga minyak sawit yang lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain membuka peluang pembelian bagi penghantaran hadapan.
- Permintaan dijangka meningkat menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan, selain pengisian semula stok di India selepas Deepavali.
- Pengurangan eksport Indonesia dan bekalan minyak bunga matahari yang terhad berpotensi menyokong permintaan serta eksport minyak sawit Malaysia.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, kebanyakan faktor yang memberi tekanan kepada harga telah diambil kira oleh pasaran.
”Ketidaktentuan geopolitik dan kemungkinan campur tangan kerajaan Indonesia dalam eksport minyak sawit boleh memberikan sokongan tambahan kepada harga.
”Kelemahan harga sejak kebelakangan ini turut membuka peluang pembelian bagi penghantaran hadapan, khususnya pada suku pertama 2027, memandangkan minyak sawit kini lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain di pasaran utama,” jelas MPOC dalam satu kenyataan.
Pada pertengahan November, minyak sawit Malaysia diniagakan pada harga diskaun US$175 satu tan berbanding minyak kacang soya dan US$310 satu tan berbanding minyak bunga matahari di India.
Di China pula, minyak sawit diniagakan pada harga diskaun US$70 satu tan berbanding minyak kacang soya pada November, sekali gus berpotensi meningkatkan penggunaannya dalam campuran minyak sayuran di negara itu.
MPOC berkata, permintaan turut dijangka meningkat menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan pada Februari 2027, selain aktiviti pengisian semula stok di India selepas Deepavali.
Dari segi bekalan, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 1.7 peratus kepada paras tertinggi bulanan 2.15 juta tan pada Oktober, manakala eksport melonjak 55.7 peratus kepada 1.71 juta tan, tertinggi dalam tempoh dua tahun.
India kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia dengan penghantaran sebanyak 534,000 tan pada Oktober.
Eksport ke negara itu dijangka mencecah 3.6 juta tan bagi keseluruhan 2026, tertinggi sejak 2019.
Sementara itu, bekalan Malaysia berpotensi menyusut mulai suku kedua 2027 sekiranya pengurangan eksport Indonesia mengalihkan permintaan kepada minyak sawit tempatan.
MPOC mengunjurkan eksport minyak sawit Malaysia berpotensi mencapai 17 juta tan pada 2027, melebihi 16.9 juta tan yang direkodkan pada 2024.
Selain itu, bekalan minyak bunga matahari yang terhad dari rantau Laut Hitam akibat konflik Rusia-Ukraine dijangka turut menyokong permintaan minyak sawit, khususnya apabila negara Asia Barat mencari alternatif bagi menampung kekurangan bekalan menjelang Ramadan.