
SEPANG, 24 November – Kementerian Pendidikan (KPM) menyeru pengamal media meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara menerusi penyampaian maklumat dasar dan inisiatif terkini kementerian itu.
- KPM menyeru media menjelaskan dasar dan inisiatif pendidikan terkini bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.
- Media penting dalam menerangkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan yang sedang digerakkan KPM.
- Sokongan berterusan media diperlukan, dan penggunaan perkataan yang boleh mencetuskan pertikaian masyarakat perlu dielakkan.
- Sekolah Sukan Pendidikan Khas pertama negara di Bandar Enstek dijangka beroperasi tahun depan, termasuk pengambilan pelajar.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata peranan media penting bagi menjelaskan pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan yang sedang digerakkan KPM.
“Saya harap sangat rakan media dapat membantu untuk memberikan penjelasan kepada masyarakat berkaitan dengan prakarsa (inisiatif) pendidikan ini,” katanya kepada media selepas mengadakan sesi Taklimat KPM Bersama Media di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan di sini.
Jelasnya, usaha membangunkan sistem pendidikan negara memerlukan sokongan berterusan media, namum penggunaan perkataan yang boleh mengundang pertikaian dikalangan masyarakat perlu dielakkan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Sekolah Sukan Pendidikan Khas pertama negara di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dijangka mula beroperasi pada tahun depan termasuk proses pengambilan pelajar.
Katanya, pelajar pendidikan khas juga berhak mendapat pendidikan yang baik bagi melahirkan insan yang seimbang dari aspek intelek, rohani dan jasmani selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan
“Inilah peluang pada kita Malaysia, kita mungkin mempunyai peluang yang luas atau lebih meyakinkan untuk podium di Sukan Paralimpik,” ujarnya.