
KUALA LUMPUR, 24 November – Lapan keberhasilan utama menerusi Kerjasama Mineral ASEAN 2026 dilancar bertujuan memperkukuh rantaian bekalan mineral kritikal serantau serta menarik pelaburan bernilai tinggi.
- ASEAN menetapkan definisi bersama bagi 30 mineral kritikal, menjadikan AMMin mesyuarat tahunan serta menyediakan garis panduan pembangunan mineral mampan.
- ASEAN perlu beralih daripada pembekal bahan mentah kepada pemprosesan mineral, pembuatan termaju, inovasi teknologi dan ekonomi kitaran.
- AMVEST dijadikan platform pelaburan tahunan, manakala AMConnect dan Kit Alatan IRMP diperkenalkan untuk menyokong projek mineral sedia dilabur.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, antara lapan keberhasilan utama yang dicapai ialah penetapan definisi bersama bagi senarai 30 mineral kritikal ASEAN, penjadualan Mesyuarat Menteri-Menteri Mineral ASEAN (AMMin) sebagai mesyuarat tahunan serta penyediaan garis panduan pelaksanaan Prinsip ASEAN untuk Pembangunan Mineral Mampan (APSMD).
Beliau berkata, pembangunan garis panduan itu diterajui Malaysia dengan sokongan teknikal Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UN ESCAP).
Langkah itu membuktikan tekad blok serantau berkenaan untuk beralih daripada sekadar komitmen dasar kepada pelaksanaan konkrit di lapangan.
“Dengan kekayaan geologi dan pertumbuhan ekonomi yang dinamik, ASEAN berada pada kedudukan unik untuk menjadi tunjang kepada ekosistem mineral kritikal global.
“Melangkah ke hadapan, kita perlu menggerakkan lebih banyak pelaburan yang berdaya maju, mempercepatkan perindustrian hiliran serta memperkukuh penjajaran dasar dan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Mineral (AMMin) ke-11 dan Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVEST) 2026, di ibu negara.
Datuk Seri Arthur, ASEAN tidak lagi boleh sekadar berperanan sebagai pembekal bahan mentah, sebaliknya perlu beralih kepada aktiviti bernilai tinggi termasuk pemprosesan mineral pertengahan, pembuatan termaju, inovasi teknologi serta ekonomi kitaran.
Turut diperkenalkan rangka kerja pemantauan Pelan Tindakan Kerjasama Mineral ASEAN (AMCAP) Fasa 4 (2026–2030), Pelan Kerja ASEAN Campur Tiga 2026–2031, serta penginstitusian AMVEST sebagai platform pelaburan tahunan milik ASEAN.
Selain itu, prapelancaran platform digital ASEAN Minerals Connect (AMConnect) dan Kit Alatan ASEAN untuk Projek Mineral Sedia Dilabur (IRMP) yang disokong Bank Dunia turut diumumkan, dengan aktiviti perintis akan dilaksanakan di Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Mengulas mengenai komitmen negara, Datuk Seri Arthur menegaskan Malaysia kekal fokus membangunkan industri mineral yang mampan, saksama dan bernilai tinggi melalui pelaburan strategik serta pembangunan modal insan.
“Kita mengalu-alukan perkongsian yang dapat menambah nilai tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memelihara kelestarian alam sekitar, sambil menghormati kedaulatan negara ke atas sumber mineral kita,”katanya