Kajian kawalan mikro Bukit Jalil, siap suku pertama 2027

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November – Kajian Pelan Kawalan Mikro Bukit Jalil yang bertujuan menangani isu pembangunan, kepadatan penduduk dan kesesakan lalu lintas di kawasan itu dijangka siap pada suku pertama 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kajian dilaksanakan oleh perunding dilantik DBKL, mengambil kira isu serta kebimbangan penduduk setempat.
  • Kerajaan ambil serius kebimbangan pembangunan Bandar Madani Bukit Jalil dan komited mematuhi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.
  • Jabatan Wilayah Persekutuan akan berjumpa Kementerian Digital untuk menilai peluang pelaksanaan Smart City Solution.
  • Perbincangan dengan MRT Corp meneliti kemungkinan menyambung pengangkutan awam sedia ada dan mewujudkan hab bas transit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian berkenaan sedang dilaksanakan oleh perunding yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan mengambil kira pelbagai isu serta kebimbangan yang dibangkitkan penduduk setempat.

Katanya, kerajaan turut mengambil serius kebimbangan penduduk berhubung pembangunan Bandar Madani Bukit Jalil dan komited memastikan setiap projek dilaksanakan secara terancang serta mematuhi Pelan Struktur Kuala Lumpur (PTKL) 2040.

Sehubungan itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah mengadakan pertemuan bersama Ahli Parlimen Seputeh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara dan persatuan penduduk bagi membincangkan isu berbangkit.

“Sebagai kesinambungan, Datuk Bandar juga akan berbincang dengan prasarana untuk meneliti lebih banyak kemungkinan dalam perkara ini. Memandangkan Bukit Jalil merupakan hub, acara ataupun venue dengan izin untuk pelbagai acara dan konsert, ianya akan menyumbang kepada kesesakan kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan akan berjumpa dengan Kementerian Digital yang dipimpin oleh Yang Bomad Gobind Singh untuk melihat peluang memulakan pelaksanaan Smart City Solution,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat

Menyentuh mengenai cadangan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Hannah berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, bagi meneliti kemungkinan menghubungkan perancangan pengangkutan awam sedia ada, termasuk usaha mewujudkan hab bas transit di Bukit Jalil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.