
KUALA LUMPUR, 2 November – Kerajaan sedang menyelaras draf Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.
- Pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 sejajar pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat.
- Matlamat menetapkan pendekatan hukuman berkadar dan menghapuskan penahanan penjara tanpa had masa khusus bagi pesalah bawah umur.
- Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk mengkaji pindaan berasaskan kepentingan terbaik kanak-kanak, pemulihan, rehabilitasi dan amalan terbaik antarabangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, pindaan itu antaranya melibatkan penambahbaikan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat pada 2023.
Beliau berkata pindaan berkenaan bertujuan menetapkan pendekatan hukuman yang lebih berkadar serta menghapuskan penahanan penjara tanpa had masa khusus terhadap pesalah bawah umur.
“Kerajaan MADANI komited menambah baik kerangka perundangan ini khususnya susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat tahun 2023 bagi memastikan pendekatan hukuman lebih jelas, berkadar dan mengambil kira prinsip keadilan kepada kanak-kanak serta kepentingan keselamatan awam.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini.
Menurutnya, di bawah peruntukan Subseksyen 97(2) Akta 611 sedia ada, mahkamah hendaklah memerintahkan pesalah kanak-kanak ditahan di penjara selama yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri mengikut undang-undang berkenaan tanpa menetapkan tempoh maksimum tahanan yang khusus.
Justeru, Jawatankuasa Khas Kajian dan Pindaan Seksyen 97 Akta 611 ditubuhkan bagi meneliti cadangan menambah baik peruntukan itu dengan mengambil kira prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, pemulihan dan rehabilitasi serta amalan terbaik pada peringkat antarabangsa.