Data tepat, kemahiran diperkasa elak rakyat tercicir

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 November – Sistem data penerima bantuan kerajaan perlu sentiasa dikemas kini bagi memastikan manfaat Belanjawan 2027 disalurkan tepat kepada golongan sasaran, khususnya mereka yang berisiko tercicir daripada menerima bantuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan kepada penduduk luar bandar dan mereka berakses teknologi terhad supaya bantuan sampai.
  • Kenaikan gaji minima kepada RM2,000 dilihat positif untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli.
  • Bantuan sekali beri tidak mencukupi; perlu disertai inisiatif jangka panjang untuk kebolehan pekerjaan.
  • Program upskilling dan reskilling penting untuk memperkasakan kemahiran serta menambah daya saing tenaga kerja.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, pengemaskinian data penting bagi meningkatkan keberkesanan penyaluran bantuan, terutama kepada penduduk luar bandar serta golongan yang mempunyai akses terhad kepada teknologi.

Menurut beliau, meskipun Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada pelbagai lapisan masyarakat, ketepatan maklumat penerima perlu terus diperkukuh bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

“Jadi, saya ingin mencadangkan supaya data penerima sentiasa dikemas kini dan bersifat semasa bagi memastikan bantuan serta kemudahan yang disediakan sampai kepada golongan sasaran. Kini, kita sudah mula bercakap mengenai penggunaan data masa nyata,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebagai langkah positif yang mampu meningkatkan pendapatan serta kuasa beli rakyat, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Dalam pada itu, beliau berpandangan usaha membantu rakyat tidak seharusnya bergantung kepada bantuan kewangan bersifat sementara atau sekali beri, sebaliknya perlu disusuli dengan inisiatif memperkasa kemahiran dan keupayaan tenaga kerja.

“Sesetengah bantuan mungkin bersifat sementara atau sekali beri. Namun, perkara lebih penting ialah bagaimana kita membantu rakyat meningkatkan kemahiran mereka, termasuk melalui program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’,” katanya.

Beliau berkata, penguasaan kemahiran baharu bukan sahaja membantu rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi, malah meningkatkan daya saing serta keupayaan mereka menghadapi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.