
KUALA LUMPUR, 23 November – Kos operasi serta penyelenggaraan bangunan warisan yang tinggi mendorong Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) memohon pertukaran status tanah daripada komersial kepada institusi.
- Kadar premium tanah KLSCAH ditetapkan pada kadar nominal RM1,000, berbanding RM4.67 juta.
- Kutipan sewa daripada NGO yang menggunakan dewan hanya menampung kurang 20 peratus kos operasi.
- Hannah Yeoh memberi jaminan keluasan tanah rizab Melayu Kuala Lumpur kekal dan akan terus dilindungi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata permohonan itu membolehkan kadar premium tanah dikurangkan daripada RM4.67 juta kepada kadar nominal RM1,000.
“Kutipan sewa daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan dewan berkenaan hanya menyumbang kurang 20 peratus daripada keseluruhan kos operasi.
“Berikutan penetapan syarat nyata tanah yang telah dipinda kepada bangunan institusi yang mempunyai sekatan pembangunan komersial dan mengambil kira taraf warisan kebangsaan yang diterima sejak 2007, serta kepentingan memelihara warisan kebangsaan, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menetapkan kadar premium nominal sebanyak RM1,000,”katanya ketika menjawab perbahasan usul berkaitan pengurangan premium tanah KLSCAH pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat.
KLSCAH yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan sejak 2007 juga tidak menerima geran pemuliharaan kerajaan sejak 2008, walaupun permohonan dibuat setiap tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah memberi jaminan keluasan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur kekal pada 2,477.375 ekar atau 1,002.6 hektar.
Beliau menyatakan komitmen untuk terus melindungi tanah rizab Melayu dan kampung tradisi Melayu sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
“Tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur sebelum saya menjadi Menteri Wilayah kekal 2,477.375 ekar.
“Selepas saya menjadi Menteri Wilayah, keluasan itu masih kekal dan memberi jaminan akan melindungi tanah rizab Melayu dan kampung tradisi Melayu kerana kebanyakannya terletak di kawasan Parlimen Segambut,”katanya lagi.