MITTE 2026 peluang industri tekstil Malaysia tembusi pasaran global

MITTE 2026 menjadi platform pertemuan pemain industri/Foto Instant Media Sdn Bhd

KUALA LUMPUR, 23 November – Ekspo Tekstil dan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITTE) 2026 berpotensi membuka ruang lebih luas kepada pemain industri tekstil tempatan untuk mengembangkan jaringan perdagangan serta meneroka pasaran antarabangsa menerusi platform yang menghimpunkan pengusaha, pelabur serta delegasi luar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MITTE menyediakan platform untuk pemain industri meneroka peluang komersial, memperluas jaringan perniagaan dan membina kerjasama dalam sektor tekstil, fesyen serta pelancongan.
  • Ekspo ini membantu PKS mendapatkan akses pasaran, meningkatkan nilai produk dan keupayaan eksport, serta meneroka teknologi baharu.
  • Gabungan tekstil, warisan budaya, kraf, batik dan fesyen tempatan membuka peluang memasarkan produk sebagai tarikan pelancongan Malaysia.

Ekspo yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mendapat penyertaan positif delegasi dan pempamer dari China, Indonesia, India, Myanmar serta Bangladesh.

Penganjur, Instant Media Sdn Bhd berkata, MITTE 2026 menjadi platform pertemuan pemain industri bagi meneroka peluang komersial, memperluas jaringan perniagaan serta membincangkan potensi kerjasama dalam sektor tekstil, fesyen dan pelancongan.

“Penganjuran ekspo itu turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi padanan perniagaan, pameran produk tekstil dan persembahan fesyen, sekali gus membuka ruang kepada pengusaha mengetengahkan produk, idea serta inovasi masing-masing kepada pemain industri dan bakal rakan perniagaan.

“Penyertaan delegasi antarabangsa turut memperlihatkan potensi Malaysia sebagai platform penghubung perdagangan tekstil serantau khususnya dalam usaha mempertemukan pengeluar tempatan dengan pembeli, pelabur dan rakan strategik dari pasaran luar,”menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan industri tekstil yang semakin dipengaruhi perubahan rantaian bekalan global pula, peluang untuk mempelbagaikan pasaran, meningkatkan keupayaan pengeluaran serta meneroka teknologi baharu menjadi antara aspek penting bagi memastikan pengusaha tempatan kekal kompetitif.

Platform seperti MITTE dilihat berupaya menyediakan ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memperluas akses kepada pasaran, selain meneroka kerjasama yang berpotensi meningkatkan nilai produk serta keupayaan eksport.

Selain aspek perdagangan, MITTE 2026 turut mengetengahkan hubungan antara industri tekstil dengan sektor pelancongan menerusi elemen warisan budaya, kraf tradisional, batik dan fesyen tempatan.

Pendekatan itu membuka peluang untuk produk tekstil tempatan dipasarkan bukan sahaja sebagai barangan komersial, malah sebagai sebahagian daripada identiti budaya dan tarikan pelancongan Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.