
PUTRAJAYA, 23 November – Seramai 10,000 peserta berhimpun bersama 40 ulama antarabangsa dan tempatan pada Majlis Khatam Sama‘ Hadis Jami‘ At-Tirmidhi dan Syamā’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, di sini.
- Majlis memuncak selepas 11 hari pengajian, termasuk syarahan dan pengijazahan oleh Mufti Besar India Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari.
- Edisi 2026 meneruskan pengajian hadis terdahulu dengan tumpuan kepada Syamā’il al-Muhammadiyyah, yang menghimpunkan riwayat tentang keperibadian dan akhlak Rasulullah SAW.
- Pengajian bertujuan menghidupkan tradisi ilmu berteraskan sanad serta menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan penghayatan sunnah.
Majlis yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menandakan kemuncak rangkaian pengajian selama 11 hari, termasuk sesi syarahan dan pengijazahan oleh Mufti Besar India Al-Allamah Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari.
Penganjuran kali ini meneruskan kesinambungan Majlis Sama‘ Hadis Sahih al-Bukhari pada 2024 dan Sahih Muslim pada 2025, dengan edisi tahun ini turut memberi tumpuan kepada pengajian Syamā’il al-Muhammadiyyah.
Karya berkenaan menghimpunkan riwayat mengenai sifat, keperibadian, kehidupan dan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan kepada umat Islam untuk mengenali serta mencontohi keperibadian Baginda.
Pengajian kedua-dua karya hadis muktabar itu turut bertujuan menghidupkan tradisi keilmuan Islam berteraskan sanad dan disiplin ilmu, selain menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta penghayatan sunnah dalam kehidupan seharian.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Muzakarah Umara’ dan Ulama’ (UMRAN) Pondok Kebangsaan 2026 yang memberi tumpuan kepada kesinambungan institusi pondok serta pembangunan pendidikan Islam negara.
Terdahulu, Perdana Menteri menerima penganugerahan ijazah sanad hadis khas yang disampaikan oleh Sheikh Abu Bakar dan Sheikh Dr Usama Sayyid Mahmud.